Monday, November 19, 2012

SOALAN PERCUBAAN PQS NEGERI JOHOR 2012


SOALAN PERCUBAAN PQS NEGERI JOHOR 2012
Kertas 1
Peraturan Pemarkahan
Muka Depan K1


SOALAN PERCUBAAN PQS NEGERI SELANGOR 2012
Kertas 1
Peraturan Pemarkahan


SOALAN PERCUBAAN PQS NEGERI SEMBILAN 2012
Kertas 1
Peraturan Pemarkahan


SOALAN PERCUBAAN PQS NEGERI TERENGGANU 2012
Kertas 1
Peraturan Pemarkahan


SOALAN PERCUBAAN SBP 2012
Kertas 1
Peraturan Pemarkahan
Muka Depan K1

Thursday, October 18, 2012

TIP MENJELANG PEPERIKSAAN



ISI KANDUNGAN

Pendahuluan
Persediaan Fizikal
Persediaan Mental
Persediaan Emosi
Persediaan Rohani
Pelbagai Persoalan
Belajar Untuk Peperiksaan




PENDAHULUAN

Peperiksaan penting seperti UPSR, PMR, SPM dan STPM memerlukan persedian lebih daripada sekadar membaca semata-mata.Tanpa persediaan yang rapi maka ramai pelajar yang mendapat keputusan yang tidak setimpal dengan usahanya. Anda tidak perlu takut dengan peperiksaan. Sebab sama ada anda bersedia atau tidak, masa untuk berhadapan dengannya tetap akan tiba. Oleh itu lebih baik anda fokuskan kepada persediaan anda untuk berjuang. Untuk cemerlang dalam peperiksaan pelajar perlu bersedia dari segala aspek, bukan setakat membaca dan mengulangkaji semata-mata. Persediaan yang rapi memupuk keyakinan yang tinggi untuk pelajar menghadapi peperiksaan mereka.


"AKU BOLEH BERJAYA". Melangkah dengan fikiran yang positif.




PERSEDIAAN FIZIKAL

KESIHATAN

Sebagai pelajar anda memerlukan kesihatan yang baik bermula dari ketika membuat persedian mengulangkaji hinggalah ke dewan peperiksaan. Keadaan kesihatan yang buruk akan mengganggu persediaan diri untuk peperiksaan. Sekiranya masih banyak yang anda perlu ulangkaji, maka pastinya anda rasa bimbang. Gangguan kesihatan pasti tidak mengizinkan anda mengulangkaji dan ini akan membawa kepada tekanan emosi. Pastikan anda menjaga perkara yang berikut:

Tidur yang cukup.

Tidur yang cukup ialah diantara 6 - 7 jam sehari. Kurang tidur menyebabkan anda rasa mengantuk, letih dan boleh jatuh sakit. Tidur yang berlebihan juga tidak baik untuk kesihatan. Jadi pastikan anda latih diri anda dengan masa tidur yang optimum ini dari sekarang.

Jaga pemakanan.

Allah s.w.t telah berfirman yang mafhumnya "Makanlah dari makanan yang baik yang telah Kami berikan" (Al-Baqarah : 57). Yang dimaksudkan
sebagai yang baik disini ialah baik dari segi sumbernya (halal), kualitinya (zat), rasanya (enak dan lazat) dan bersih (tidak membawa penyakit dan kemudaratan). Kepada ibu bapa pastikan anak-anak anda diberi makan makanan dari sumber yang halal. Makanan yang haram akan menghitamkan dan menggelapkan hati mereka.

Riadah.

Jangan beriadah sehingga meletihkan badan. Ramai pelajar yang bermain hingga penat dan akibatnya anda akan rasa mengantuk untuk mengulangkaji
pelajaran. Anda hanya perlu beriadah selama 20 minit dan sebanyak tiga kali seminggu. Lakukanlah senaman ringan yang mengeluarkan sedikit peluh. Disaat-saat akhir sebegini, lupakanlah soal bolasepak, takraw, badminton dan sebagainya. Anda boleh tangguhkan semua aktiviti yanganda minati ini setelah tamat peperiksaan penting nanti.



KESELAMATAN

Anda perlu menjaga keselamatan diri anda sebaiknya. Jauhkan diri anda dari aktiviti lasak yang boleh membawa kepada kecelakaan. Elakkan diri dari sebarang kecederaan. Anda past tidak mahu mengambil peperiksaan sewaktu berad dalam wad di hospital. Memanglah kecelakaan tidak pernah diundang, tetapi kalau anda tidak berhati-hati anda sebenarnya mendedahkan diri kepada pelbagai kemungkinan. Dalam musimmenjelangnya peperiksaan, lebihkan masa anda untuk berada dirumah.



PERSEDIAAN MENTAL

 


Pelbagai Gambaran Negatif

Kerapkali masalah yang dihadapi oleh pelajar apabila hampir dengan peperiksaan ialah takutkan kegagalan. Walau pun anda telah berusaha bersungguh-sungguh namun perasaan takutkan kegagalan ini sering mengganggu fikiran. Antara keadaan yang menekan diri pelajar ialah:

Menyerah kalah sebelum berjuang

Ini disebabkan kerana mereka rasakan yang mereka tidak punya harapan lagi. Mereka rasakan buat apa belajar kalau dah tahu hasilnya nanti ialah kegagalan. Mereka percaya yang mereka akan gagal dalam peperiksaan berdasarkan kepada keputusan peperiksaan atau ujian-ujian sebelum ini. Mereka cuba membaca teta dengan keyakinan bahawa tidak mungkin mereka mampu memahami dan mengingati setiap fakta yang dibaca.

Merasa belum bersedia

Keadaan yang kedua pula berlaku kepada mereka yang sememangnya belajar. Mereka rasakan yang diri belum cukup bersedia. Mereka sentiasa fikirkan apa akan berlaku kalau segala usaha ini sia-sia? Apa akan terjadi kalau apa yang dibaca kelak lupa? Betapa malunya nanti kalau kawan-kawan yang kurang berusaha mendapat keputusan yang jauh lebih baik? Semua ini bermain difikiran.

Harapan ibu bapa yang terlalu tinggi

Tidak ada ibu bapa yang tidak mengharapkan kejayaan anak-anak. Ada ketikanya pula ibu bapa berulangkali menyatakan harapan mereka kepada anak-anak tanpa memikirkan kemampuan sebenar diri anak. Harapan yang terlalu tinggi ini ada ketikanya menjadi beban kepada anak-anak hinggakan mengganggu fikiran mereka. Kepada ibu bapa, saya sarankan agar dorong anak-anak berusaha gigih dan melakukan yang terbaik mengikut kemampuan masing-masing. Nyatakan dengan jelas bahawa apa yang anda mahukan ialah anak-anak melakukan yang terbaik dan sungguh-sungguh. Anda redha walau apa sekalipun keputusannya kelak. Ini akan mengurangkan tekanan atas diri anak-anak.


Berfikiran Positif

Bagi mengatasi segala tekanan mental seperti di atas anda perlulah berfikiran positif. Fokuskan mental anda kepada apa yang perlu anda lakukan dan apa pula hasil yang anda harapkan. Tidak perlu anda bimbang apa keputusan yang bakal diperolehi tetapi anda perlu bimbang kalau-kalau anda tidak menggunakan sisa-sisa masa yang masih ada untuk berusaha sepenuhnya.

Sekiranya anda memikirkan kegagalan maka anda hanya tergambar pelbagai rintangan dan halangan. Ini akan melemahkan semangat anda. Ia juga membuatkan anda meragu kebolehan diri anda.

Dalam berusaha anda mesti berpegang kepada kata-kata seperti:

"Sedikit pencapaian itu lebih baik dari tiada pencapaian langsung".

"Something is better than nothing"

Lakukan "Latihan Minda" setiap hari.

"If you can't see it, you can't have it".

Kata-kata di atas menunjukkan bahawa untuk mencapai sesuatu kejayaan itu maka gambaran kejayaan mestilah terlebih dahulu wujud dalam pemikiran. Sebelum anda mampu mendapat 5A dalam PMR, maka 5A itu mesti terlebih dahulu ada dalam pemikiran. Ia ibarat menghasilkan sebuah lukisan, anda tidak akan melakar sesuatu yang anda tidak gambarkan. Lakaran anda berasaskan kepada apa yang anda nampak dalam mata minda. Begitulah juga dengan kehidupan ini. Anda tidak akan menghasilkan sesuatu yang anda tidak gambarkan. Oleh itu, gambarkanlah kejayaan dan anda pasti akan terdorong untuk merealisasikan apa yang digambarkan itu. Makin jelas gambaran yang ada, makin tinggilah kesungguhan anda untuk
merealisasikannya.

Untuk membantu anda menggambar dengan baik, anda perlu membuat latihan minda seperti dibawah.

1.Duduk dikerusi anda dengan selesa. Tangan diletakkan diatas peha. Badan tidak bersandar. Tenangkan fikiran dan kendurkan setiap otot, sendi, uratsaraf dan pejamkan mata anda.

2.Tarik nafas beberapa kali dalam-dalam. Tarik melalui hidung dan hembuskan melalui mulut. Ketika nafas ditarik, gambarkan yang anda menyedut keyakinan diri. Ketika nafas dibuang, gambarkan yang anda membuang segala ketakutan dan kebimbangan.

3.Saya percaya anda pernah capai kejayaan sebelum ini, sama ada kecil atau besar. Saya mahu anda kembali kepada peristiwa kejayaan itu. Kejayaan itu mungkin berkaitan dengan pelajaran, sukan, debat dan sebagainya. Pilih satu yang paling bermakna kepada anda. Dimana iaberlaku? Apa yang berlaku? Apa yang anda dapat lihat? Suara apa yang anda dengar? Kalau ada tepukat, dengar tepukan gemuruh ketika itu. Kalau ada puji-pujian dengarkan duara siapa yang memuji itu. Gambarkannya secara jelas mengikut kemampuan anda. Dengar suara yang ada dengan jelas. Rasakan apa perasaan anda ketika itu. Rasakan keseronokan anda pernah dipuji. Rasakan kebanggaan anda sebagai orang yang berjaya ketika itu. Hadirkan perasaan itu kembali.

4.Apabila perasaan yakin dan bangga mula memuncak, cubit sedikit kedua-dua peha anda dengan tangan. Biar terasa sedikit sakit. Buka mata anda, dan pejam kembali. Ulang langkah 2 - 4 beberapa kali.

5.Kini pejamkan mata, gambarkan anda melangkah masuk ke dewan peperiksaan. Gambarkan anda duduk dikerusi dan diatas meja tersedia kertas soalan. Rasakan ketenangan dalam dewan. Gambarkan kini anda membelek-belek kertas soalan dan anda dapati semua apa yang anda baca keluar. Rasakan kegembiraan itu. Gambarkan bagaimana anda menjawab setiap soalan satu persatu dengan penuh keyakinan. Ide keluar mencurah-curah. Gambarkan 5A dalam UPSR. Ketika ini sekali lagi cubit kedua-dua peha anda seperti yang telah anda lakukan dalam langkah 4 tadi.

6.Buka mata anda, ulangi langkah 5 beberapa kali.

7.Buatkan latihan minda ini 10 - 15 minit setiap hari. Sekiranya anda lakukan latihan ini sungguh-sungguh setiap hari, anda dapat mengawal perasaan takut anda ketika berada didewan peperiksaan dengan menarik nafas dan mencubit kedua-dua peha.

Kejayaan latihan minda di atas banyak bergantung kepada kesungguhan anda melatih diri, kekerapan latihan dan tumpuan anda.


PERSEDIAAN EMOSI

Dalam saat-saat menghadapi peperiksaan, anda perlu mengelak diri dari sebarang bentuk gangguan emosi. Perkara-perkara yang berikut perlu dielakkan:

Pertengkaran dengan rakan-rakan;

Melakukan perkara yang membuatkan ibu bapa marah;

Cinta monyet yang mungkin kecundang disaat-saat
peperiksaan;

Bersikap terlalu yakin - "overconfident";

Berprasangka buruk terhadap orang lain;

Ramai pelajar bertindakbalas secara spontan terhadap sesuatu yang berlaku terhadap mereka. Tindakbalas spontan ini menjadi tabiat semulajadi mereka. Apa perasaan anda kalau raka membohongi anda? Anda mungkin serta-merta menjadi marah. Apa berlaku kalau rakan memulau dan mengejek anda? Anda mungkin rasa tersinggung dan kecil hati. Kalaulah begini tindakbalas spontan anda, apa akan berlaku dengan persediaan peperiksaan anda? Anda pasti tidak mampu memberikan tumpuan untuk mengulangkaji. Ada ketikanya luka dihati berkekalan berhari-hari.

Kenapa tidak selepas ini kawal emosi anda. Jangan izinkan sesiapa melukai hati anda. Mereka boleh berkata apa sahaja, mereka boleh berbohong dan sebagainya. Mereka ada suara, biarkanlah mereka. Anda cuma pekakkan telinga. Banyakkan bersikap sabar. Teruskan sahaja kerja anda. Kekalkan matlamat peperiksaan anda. Apabila anda berjaya satu hari nanti, rakan-rakan akan mula menghormati anda.

Sebenarnya peristiwa tidak mencetuskan sebarang emosi. Tanggapan atau paradigma andalah yang mencetuskan emosi. Kita boleh melihat setiap perkara yang berlaku terhadap diri kita dari dua perspektif, iaitu positif atau negatif. Mulai hari ini ambillah dari sudut yang positif. Ingatlah setiap apa yang berlaku adalah ujian Allah dan ada hikmah sekiranya anda bersabar. Dengan cara ini anda mampu membenteng emosi anda.




PERSEDIAAN ROHANI


 

Selain dari persediaan fizikal, mental dan emosi, persediaan rohani juga perlu. Anda perlu faham kedudukan kita sebagai hamba hanyalah mampu melakukan usaha sebaik mungkin tetapi hasil sebenarnya Allah lah yang menentukannya. Ketenangan jiwa dan fikiran sangat perlu disaat-saat menghadapi peperiksaan, oleh itu lakukanlah sesuatu untuk meraih ketenangan ini.

Antara perkara yang boleh anda lakukan ialah:

1.Sentiasa bermunajat kepada Allah. Lakukan solat hajat dan pohon agar Allah campakkan ketenangan dan terangkan hati dalam menghadapi peperiksaan. Minta pada Allah agar apa yang dipelajari keluar dalam peperiksaan.

2.Minta restu kedua ibu bapa. Doa ibu bapa untuk anakny sangat makbul. Jadi mintalah restu dari keduanya. Mintalah mereka mendoakan kejayaan anda.

3.Banyakkan berzikir dan membaca al-Quran. Hati yang banyak berzikir akan memperolehi ketenangan. Hati juga lebih terang apabila anda sering membaca al-quran. Alla telah berfirman dalam surah ar-Ra'ad, ayat 36, yang
mafhumnya "Sesungguhnya dengan mengingat Allah akan menjadi tenanglah semua hati".

4.Jauhi maksiat. Jauhi diri anda dari perbuatan maksiat dan dosa besar. Mereka yang bergelumang dengan maksiat mempunyai jiwa yang resah. Hidup juga tidak diberkati Allah.

5.Banyakkan berdoa. Pastikan anda berdoa mengikut adab-adab berdoa.



MENGATASI PELBAGAI SOALAN DAN KEBIMBANGAN

Saya tidak tahu dimana patut bermula.

Jangan panik. Senaraikan semua perkara yang perlu anda lakukan. Agih-agihkan tugasan anda kepada bahagian yang lebih kecil dan mudah dilaksanakan. Tentukan keutamaan tugasan, yang utama didahulukan. Rancang masa untuk menyelesaikan setiap tugasan ini sebaik-baiknya. Jangan sesekali ponteng kelas ketika hampir dengan peperiksaan. Anda mungkin tertinggal ulangkaji dan tip-tip penting yang dibincangkan oleh
guru atau pensyarah. Gunakan masa-masa rehat yang ada untuk mengimbas kembali apa yang telah dipelajari. Berikan masa bukan sahaja untuk belajar tetapi juga untuk merancang strategi pembelajaran anda. Jangan terburu-buru, mulakan belajar anda dengan topik yang senang dahulu. Mulakan 30 minit – 1 jam dahulu. Semakin lama, terutamanya apabila semakin hampir dengan peperiksaan, tingkatkan waktu belajar anda.


Terlalu banyak untuk dibaca sedangkan peperiksaan semakin hampir.

Buat tinjauan. Berikan masa untuk anda membuat tinjauan keseluruhan topik. Kenalpasti topik-topik penting. Fahami konsep-konsep penting. Pastikan topik yang anda maih belum faham. Mulakan belajar topik yang penting-penting dahulu. Mana-mana topik yang kurang penting, dan tidak sempat diulangkaji sepenuhnya, fokus hanya kepada fakta-fakta utama. Tetapi ingat, tinjauan hanya boleh membantu sekiranya anda benar-benar sudah tidak punya masa. Kalau anda masih sempat membacanya, maka bacalah dengan terperinci.


Subjek ini cukup membosankan. Anda rasa jemu dan mengantuk apabila membacanya.

Belajar secara aktif bukannya pasif. Gunakan kaedah membaca yang berkesan. Dapatkan soalan-soalan berkaitan dengan topik yang dipelajari sebelum memulakan ulangkaji. Pelbagaikan aktiviti ketika belajar. Selang-selikan diantara aktiviti membaca dengan menulis nota, melakar peta minda (atau peta konsep), menghafal, menggaris kata kunci dan menjawab soalan-soalan. Libatkan diri anda sebanyak mungkin dengan apa yang sedang dibaca. Tukarkan apa yang dibaca kepada gambaran minda. Belajar bersama rakan yang lebih arif tentang subjek tersebut dan bincangkan.


Anda baca dan anda faham, tetapi anda tidak mampu mengingatinya.

Cuba kaitkan apa yang sedang anda pelajari dengan apa yang telah aanda ketahui. Gunakan beberapa pendekatan untuk mengingat seperti:

Hafal kata kunci, bukannya hafal ayat.
Gunakan Teknik Ceraian.
Gunakan Teknik Menemonik.
Tuliskan fakta-fakta penting pada kad dan bawanya bersama
anda kemana sahaja. Kerapkan buat imbasan terhadap kad-
kad ini.



Anda rasa anda faham apa yang dibaca. Anda rasa anda telah mengingatinya.

Jangan cepat merasa puas hati dengan apa yang anda usahakan. Uji ingatan dan pengetahuan anda. Jawab soalan-soalan dari buku atau dari peperiksaan tahun-tahun sebelumnya. Bina soalan-soalan berdasarkan tujuh soalan asas iaitu Apa? Siapa? Bila? Dimana? Berapa? Kenapa? Bagaimana? Misalnya, kalau anda sedang membaca sejarah Melaka diserang Portugis, tanyakan soalan-soalan seperti:

Bila Melaka diserang?
Kenapa Melaka diserang?
Siapa yang menyerang?
Bagaimana Melaka diserang?


Terlalu banyak untuk dihafal dan diingat.

Penyusunan maklumat. Maklumat dan fakta-fakta dapat dikeluarkan dengan lebih baik sekiranya ia dibaca, dihafal dan disimpan dalam bentuk yang sistematik. Terdapat pelbagai pendekatan yang boleh anda guna untuk menyusun maklumat atau fakta ini, antaranya ialah:

Tuliskan rangka setiap bab yang dibaca atau ringkasan tentangnya. Perhatikan perkaitan antara satu bahagian dengan bahagian yang lain dalam tajuk tersebut. Cuba kumpulkan maklumat kepada beberapa kategori berdasarkan persamaan yang ada. Cuba bahagikan kepada hieraki (sekiranya ini boleh dilakukan). Pemetaan maklumat. Cuba lakarkan peta konsep bagi menyusun bahan-bahan yang ada perkaitan. Misalnya kalau anda sedang membaca sejarah tentang perang dunia kedua, anda mungkin boleh buatkan satu carta tentang semua negara yang terlibat. Kemudian senarai isu penting atau peristiwa penting disebelah carta tersebut. Anda mungkin kaitkan kembali isu/perkara penting ini dengan negara-negara tersebut berdasarkan kepentingan dan kesan ke atas mereka.


Tadi anda masih ingat tetapi kenapa kini anda lupa?

Sering buat imbasan. Kajian menunjukkan bahawa sebagai manusia normal anda akan lupa 80% apa yang telah dibaca hanya dalam masa 24 jam. Oleh itu anda perlu merancang satu strategi agar anda mampu mengatasi kelemahan ini.

Pastikan setiap apa yang anda baca telah diringkaskan. Jadikan fakta seringkas mungkin dengan syarat apabila anda melihat fakta tersebut anda mampu menceritakan semula apa yang mahu disampaikan olehnya. Ada ketikanya fakta yang panjang sekalipun mampu anda ringkaskan menjadi dua atau tiga patah perkataan. Selepas 24 jam, cuba lihat nota ringkas anda ini. Cuba ceritakan semula apa yang anda fahami. Sekiranya anda mampu menceritakannya, bermakna anda sudah mampu memanggil semula maklumat tersebut. Sekiranya tidak, semak semula sekali imbas teks asal. Berikan masa menjawab soalan-soalan berkaitan dengannya bagi mengukuhkan lagi ingatan anda. Semak semula apa yang dibaca dari semasa ke semasa. Dengan cara ini anda tidak perlu bersusah payah membaca teks asal kembali sewaktu hampir dengan peperiksaan.


Anda suka belajar disaat-saat akhir.

Ramai pelajar yang berpendapat lebih baik belajar disaat-saat akhir, sebab kalau belajar awal pun nanti lupa juga. Pendapat di atas adalah tidak benar. Anda perlu belajar seawal mungkin bagi mengenal pasti kelemahan dalam sesuatu bab. Dengan belajar awal juga anda punya banyak masa untuk bertanya pada guru dan rakan-rakan. Salah satu rahsia belajar ialah kekerapan. Lagi kerap sesuatu bahan itu diulangbaca maka lagi besar potensi untuk anda memahami dan mengingatinya. Oleh itu, mulakan langkah anda sekarang. Mulakan sedikit dahulu. Mulakan dengan yang mudah-mudah dahulu dan apabila minat dan semangat mula berputik, barulah lakukan dengan lebih bersungguh-sungguh.



BELAJAR UNTUK PEPERIKSAAN


Ramai pelajar yang rajin belajar tetapi tidak memperolehi keputusan yang setimpal dengan usaha mereka. Keadaan ini berlaku disebabkan mereka tidak belajar dengan pendekatan untuk cemerlang dalam peperiksaan. Mereka tidak merancang jadual belajar dan masa mereka dengan betul. Artikel ini akan membincangkan apa yang perlu anda lakukan mulai sekarang
hinggalah ke dewan peperiksaan bagi memastikan anda lakuka yang terbaik.

Bersedia untuk belajar

Peperiksaan semakin hampir. Anda perlu melakukan persediaan bagi memastikan anda mampu melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lenih tinggi sama ada di kolej ataupun universiti.

Sekiranya anda memang telah belajar dari awal, pastinya tidak banyak yang perlu dirisaukan. Tetapi bagaimana pula sekiranya anda baru mahu bersungguh-sungguh mengulangkaji. .



Buatkan jadual belajar untuk peperiksaan

Jangan panik. Itu adalah pesan saya yang paling utama. Walaupun anda rasakan banyak yang perlu difahami dan diingati, jangan sekali-kali anda panik. Sekiranya anda panik, anda akan mengundang lebih banyak masalah berbanding penyelesaian. Tidak ada masalah tanya penyelesaian.

Mula menyemak semua buku-buku yang ada termasuk nota sekolah, buku teks, buku rujukan, soalan-soalan ramalan dan soalan-soalan tahun lepas. Pastikan semuanya lengkap dan dalam keadaan baik.

Langkah pertama kenal pasti bab-bab yang susah dan belum anda kuasai untuk semua mata pelajaran. Senaraikan bab-bab ini. Senaraikan juga bab-bab yang telah anda kuasai dengan baik.

Langkah kedua buatkan analisa soalan-soalan sejak 5 tahun yang lepas. Lihat bab-bab yang sering keluar soalan darinya. Bab-bab ini merupakan bab-bab penting yang tidak boleh tidak mesti anda kuasai dengan baik.

Buatkan jadual perancangan belajar anda. Agihkan tajuk-tajuk dari sekarang hinggalah seminggu sebelum peperiksaan. Jangan diganggu minggu terakhir sebelum peperiksaan sebab minggu terakhir ini adalah untuk anda lakukan semakan terakhir nanti. Mana-mana bab yang penting, mulakan ulangkajinya dahulu. Lagi awal anda mengulangkaji bab-bab ini lagi cepat anda mengenalpasti dan seterusnya mengatasi setiap masalah. Sekiranya anda terpaksa menghabiskan 4 bab seminggu maka habiskanlah. Anda mungkin
terpaksa belajar 5 - 8 jam sehari untuk mengulangkaji semua matapelajaran. Oleh itu anda perlu berkorban demi masa depan. Anda mungkin belajar 1 jam di waktu pagi, 2 jam pada tengahari, 1 jam diwaktu petang dan 3 jam diwaktu malam. Ini menjadikan masa belajar anda 7 jam sehari.


Mengingati Tajuk

Ramai pelajar tidak menyedari hakikat penting ini. Kalau anda mampu mengingati apa tajuk-tajuk yang terkandung dalam sesuatu matapelajaran maka anda mempunyai gambaran yang jelas tentang apa yang anda pelajari.


Buatkan Nota

Anda hanya perlu mempelajari sekali sahaja setiap tajuk. Pastikan dengan usaha yang sekali ini anda mampu memahaminya. Ramai pelajar yang mengulang baca sesuatu tajuk beberapa kali dan kemudiannya lupa. Cara belajar begini bukan sahaja menjemukan malah merugikan masa anda, sedangkan peperiksaan semakin hampir.

Setelah anda memahami apa yang dibaca, buatkanlah nota-nota ringkas. Yang terbaik ialah anda ringkaskannya mengikut apa yang anda fahami. Bandingkan nota anda dengan teks asal bagi memastikan fahaman anda betul dan tidak ada fakta penting yang tertinggal.

Ringkaskan setiap fakta menjadi lebih pendek bagi memudahkan anda mengingatinya. Kenalpasti kata kunci dalam setiap fakta. Buatkan senarai kata kunci dan hafal. Lakarkan peta minda atau peta konsep berdasarkan tajuk-tajuk dan kata kunci yang ada. Pastikan apabila anda mengingati kata kunci, maka anda mampu mengingati keseluruhan fakta yang berkaitan dengannya.


Latih diri anda untuk peperiksaan

Anda perlu melatih diri anda untuk peperiksaan. Tanpa latihan anda tidak mungkin dapat memberikan hasil yang terbaik. Minda anda juga seperti otot-otot fizikal anda yang lain. Ia perlu dilatih secara intensif bagi mencapai sesuatu hajat. Mereka yang mahu cemerlang dalam 'bowling' perlu melakukan latihan berterusan bagi meningkatkan kemahiran ber'bowling'. Begitu juga dengan peperiksaan. Anda perlu melatih diri anda bagi tujuan cemerlang dalam peperiksaan.


Syarat-syarat latihan peperiksaan ialah:

1.Latih mengeluarkan maklumat dengan banyak, cepat dan
tepat.

2.Latih dalam tempoh masa yang tertentu.

3.Anggapkan setiap latihan seperti peperiksaan sebenar.

4.Latih menjawab mengikut strategi menjawab soalan yang
berkesan.


1. Latih mengeluarkan maklumat
Maklumat yang dibaca mestilah mampu dikeluarkan semula. Oleh itu anda perlu sentiasa melatih diri anda untuk mengeluarkan maklumat yang telah dipelajari. Perbanyakkan latihan-latihan seperti:

 Menjawab soalan-soalan;
 Menceritakan semula apa yang telah dipelajari;
 Melakarkan kembali dalam bentuk peta konsep / minda;
 Mengadakan perbincangan dengan rakan;
 Menyediakan kad imbasan kecil.
 Menggambarcarakan apa yang telah dipelajari.
 Sekiranya anda pelajar SPM atau STPM, cuba hasilkan model jawapan soalan esei berdasarkan soalan-soalan yang ada. Cuba pecahkan fakta-fakta penting dalam bentuk peta minda/konsep. Ini memudahkan anda mengingati isi-isinya dalam peperiksaan sebenar kelak.


2. Hadkan masa menjawab
Pastikan anda menjawab dalam had masa yang ditetapkan. Peperiksaan bukan sahaja memerlukan anda mengetahui banyak fakta, tetapi anda perlu mengeluarkan fakta-fakta yang berkaitan dalam masa yang telah ditetapkan. Oleh itu anda perlu pantas dan kepantasan hanya boleh dibina melalui latihan yang berterusan.

Oleh itu anda perlu kerap menjalankan latihan ujian. Iaitu menjawab soalan-soalan dalam had masa seperti dalam peperiksaan.


3. Anggap seperti peperiksaan sebenar

Pastikan anda bebas dari gangguan, tidak melengahkan masa, tumpuan yang tinggi dan rasakan seolah-olah tekanan peperiksaan yang sebenar. Elakkan dari meniru sepanjang menjalani latihan ujian. Gunakan strategi menjawab soalan (lihat di bawah). Ingat masa berjalan, oleh itu jangan sekali-kali biarkan fikiran anda melayang. Sekiranya soalan itu susah, maka berikanlah jawapan yang terbaik. Anda perlu belajar mengenali gerak hati anda sebab anda memerlukannya dalam peperiksaan yang sebenar nanti.


4. Strategi menjawab soalan

Untuk mendapatkan markah yang tinggi dan mengelak dari berlakunya kecuaian, anda memerlukan strategi menjawab soalan yang berkesan.

Langkah-langkah berikut dapat membantu:

1.Baca arahan terlebih dahulu.
2.Baca arahan terlebih dahulu.
3.Kenal pasti dan garis kata kunci kepada soalan.
4.Jawab soalan mengikut turutan berikut:

 Jawab soalan BONUS - Iaitu soalan yang anda pasti jawapannya betul. Ia mungkin soalan yang telah anda ramal, atau yang pernah anda latih sebelumnya.

 Jawab soalan yang senang - Iaitu soalan yang mampu anda jawab hanya dengan satu kali cubaan.

 Jawab soalan-soalan yang susah - iaitu soalan yang memerlukan masa yang panjang atau soalan yang anda memang tidak tahu jawapannya.

 Semak - Pastikan semua soalan dijawab; Untuk soalan objektif, pastikan tandanya betul.

 Ulang jawab - Kalau masih ada masa, ulang jawab soalan bonus dan senang. Ingat! soalan inilah yang anda pasti lakukan kecuaian oleh itu semak dengan tujuan mencari kesilapan tersebut. Bukannya menyemak dengan tujuan berpuashati dengan jawapan. Langkah terakhir barulah ulang jawab soalan-soalan susah. Itu pun sekiranya masa masih mengizinkan.


Mencari sebab (post-mortem)

Anda perlu menkaji kelemahan diri anda setiap kali selesai menjawab soalan-soalan. Setelah anda selesai membuat latiha ujian. Semak setiap jawapan yang dibuat. Sekiranya jawapan anda salah maka lakukan 'post-mortem', iaitu proses mencari sebab. Setiap kesilapan ada sebab-sebabnya dan ini merupakan masalah utama yang perlu anda atasi. Antara sebab-sebab kesalahan berlaku ialah:

 Tidak tahu (tidak baca) - Ini bermakna persediaan diri anda kurang. Maka berikan masa membaca tajuk-tajuk tersebut.
 Tidak faham - Anda baca tetapi tidak faham. Tanyakan padaguru atau rakan.
 Lupa - Ini disebabkan anda kurang mengulangi apa yang telah dipelajari.
 Cuai - Pastikan anda mengikuti langkah-langkah dalam Strategi Menjawab Soalan di atas.
 Keliru - Tanyakan pada guru tentang bentuk soalan yang mengelirukan anda. Minta penjelasan dari guru sebelum hari peperiksaan agar kesilapan yang sama tidak diulangi.


Jangan buang masa

Dalam suasana peperiksaan semakin hampir anda perlu gunakan setiap masa yang terluang untuk mengulangkaji. Sekirannya masa yang terluang tidak sesuai untuk anda membaca dan menghafal, maka gunakan masa tersebut untuk anda melatih mengeluarkan maklumat. Ceritakan apa yang telah anda pelajari kepada diri anda sendiri. Lakarkan apa yang anda ketahui pada sehelai kertas. Aktiviti sebegini mengukuhkan lagi ingatan anda dan memudahkan pengaliran keluar maklumat ketika dalam peperiksaan kelak.





Bagi mengelakkan rasa jemu belajar, pelbagaikan aktiviti dalam satu-satu sessi mengulangkaji.

Wednesday, October 10, 2012

SOALAN PERCUBAAN PQS 2012


SOALAN PERCUBAAN PQS NEGERI JOHOR 2012
Kertas 1
Peraturan Pemarkahan
Muka Depan K1


SOALAN PERCUBAAN PQS NEGERI SELANGOR 2012
Kertas 1
Peraturan Pemarkahan


SOALAN PERCUBAAN PQS NEGERI SEMBILAN 2012
Kertas 1
Peraturan Pemarkahan


SOALAN PERCUBAAN PQS NEGERI TERENGGANU 2012
Kertas 1
Peraturan Pemarkahan


SOALAN PERCUBAAN SBP 2012
Kertas 1
Peraturan Pemarkahan
Muka Depan K1

Tuesday, October 9, 2012

Majlis Doa Restu PMR SMKDPB 2012


5 Oktober 2012 : Program Menjelang PMR dimantapkan lagi dengan Majlis Doa Restu PMR SMKDPB 2012. Sempena majlis ini, calon-calon PMR telah dibekalkan alat-alat tulis untuk digunakan semasa menghadapi PMR 2012. Bekalan ini telah disumbangkan oleh Koperasi SMK Dato, Penggawa Barat.



(PMR 2012) SELAMAT BERJUANG



9 Oktober 2012 : Penilaian Menengah Rendah kini telah bermula. Satu penantian yang telah menjadi kenyataan dengan harapan kejayaan yang cemerlang. Di kesempatan ini, kami warga guru SMK Dato' Penggawa Barat ingin mengucapkan selamat menduduki peperiksaan PMR kepada putera dan puteri calon PMR SMK Dato' Penggawa Barat. Semoga anak-anak  semua diberikan ketenangan semasa menjawab soalan peperiksaan, diberikan kesihatan yang baik sepanjang peperiksaan, dipermudahkan semasa menjawab soalan peperiksaan dan semoga jawapan yang diberikan bertepatan dengan kehendak soalan serta berjaya dengan cemerlang.


Buatlah yang terbaik, semoga usahamu selama ini diberkati dan mendapat keredhaan Allah swt. Jangan lupa tawakkal kepada Allah setelah selesai semuanya. 


ABD. SHUKOR TALIB
( Guru Cemerlang PQS DG 44 )

       Masa interaksi antara guru dan pelajar di sekolah amat terhad. Peruntukan masa bagi mata pelajaran Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah Cuma 4 masa sahaja seminggu. 4 masa yang diperuntukan itu digunakan sebaiknya oleh guru untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran, sesi pengayaan dan pemulihan, latih tubi topikal, pentaksiran lisan berasaskan sekolah (PLBS), perbincangan dan pembentangan kumpulan dan kajian perpustakaan.Tajuk yang berkaitan dengan sukatan pelajaran tingkatan 4 dan 5 sebanyak  6 topik dan 106 sub topik. Ditambah pula dengan kelas tambahan, kerja rumah terancang dan aktiviti sukan dan persatuan membuatkan pelajar berasa letih dan memenatkan.

       Laman blog ini dibina sebagai alternatif baru pembelajaran Pendidikan Al-Quran dan Sunnah yang diharapkan dapat memberikan impak yang besar kepada minat dan kesungguhan pelajar dalam mendalami ilmu yang berkaitan dengan Al-Quran dan Al-Hadith. Dengan adanya laman web ini, pelajar dapat berinteraksi dengan guru di luar waktu pengajaran dan pembelajaran, dapat mengajukan soalan yang berkaitan dengan mata pelajaran, seterusnya dapat berbincang dan bertukar-tukar pandangan dan pendapat dikalangan pelayar samada dari sekolah yang sama atau sekolah-sekolah yang lain. 
 
       Semoga ianya dapat dimanfaatkan oleh semua pelajar dan menjadi sebagai satu wadah atau “one stop centre” bagi semua pelajar yang mengambil mata pelajaran ini. Di sini guru dan pelajar dapat memuat turun bahan-bahan yang berkaitan dengan mata pelajaran seterusnya dapat bertukar-tukar pandangan dan idea bagi memastikan kecemerlangan dalam SPM khususnya bagi mata pelajaran Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah.

Tuesday, July 24, 2012

Ramadhan: Batalkah Puasa Anda Jika…

Perkara-perkara yang membatalkan puasa sebagaimana yang disepakati (Ittifaq) ulama’ berdasarkan kepada nas al-Quran, hadis dan ijma’ ialah empat perkara;
1)  Makan,
2) Minum,
3) Jima’.
Dalilnya ialah firman Allah swt yang bermaksud: “…Maka sekarang campurilah mereka dan ikutilah apa yang telah ditetapkan Allah untukmu, dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih dari benang hitam, yaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai (datang) malam…”. [Al-Baqarah:187].
4) Haid dan Nifas.
Dalilnya hadis Abu Said al-Khudri yang bermaksud: Sabda Rasulullah saw: “Bukankah perempuan itu apabila mereka haid, tidak bersolat dan tidak berpuasa…”. [Bukhari: 304, Muslim: 79].

 Di bawah ini ialah ringkasan dan kesimpulan yang dibuat oleh penulis;
1-    Pendapat yang mengatakan “al-Jauf”, iaitu rongga yang membatalkan puasa apabila masuk makanan ke dalamnya      adalah “Ma’idah” (perut) sahaja, tidak termasuk lubang-lubang lain di badan manusia.
2-    Ulama’ semasa berbeza pendapat tentang “Bakhkhah ar-Rabwu” (penyembur gas untuk penyakit lelah). Pendapat yang paling hampir dengan kebenaran (pada pandangan penulis) adalah tidak batal.
3-    Pil yang diletakkan di bawah lidah bagi pesakit jantung, yang dihisap secara terus dan tidak masuk ke dalam rongga adalah tidak membatalkan puasa.
4-    Alat yang dimasukkan ke dalam ma’idah (usus) untuk mengesan penyakit juga tidak membatalkan puasa. Kecuali jika diletak ubat/minyak pada alat tersebut maka ia boleh membatalkan puasa.
5-    Ulama’ semasa juga berbeza pendapat tentang ubat titis ke dalam hidung. Ada yang mengatakan tidak batal, tetapi majoriti mengatakan batal. Pendapat yang paling hampir dekat dengan kebenaran (pada pandangan penulis) adalah tidak batal.
6-    Gas oksigen tidak membatalkan puasa kerana ia hanyalah angin/udara yang tidak terdapat anasir lain di dalamnya.
7-    Begitu juga gas yang disedut melalui hidung, hukumnya sama dengan penyembur lelah (no. 2).
8-    Bius setempat tidak membatalkan puasa. Manakala bius penuh sepanjang hari membatalkan puasa tetapi sekiranya pesakit tersedar dan masih berbaki waktu puasa hari tersebut tidak batal puasanya.
9-    Ubat titis ke dalam telinga juga tidak membatalkan puasa kerana rongganya tidak bersambung dengan “Jauf”.
10-      Ubat titis mata, mengikut majoriti ulama’ semasa, tidak membatalkan puasa.
11-      Suntikan ubat melalui kulit, urat dan otot mengikut majoriti ulama’ semasa tidak membatalkan puasa.
12-      Memasukkan air dan benda yang boleh mengenyangkan seperti glukos ke dalam urat, mengikut majoriti ulama’ semasa adalah membatalkan puasa.
13-      Melumur minyak, losyen dan sebagainya pada kulit, tidak membatalkan puasa.
14-      Memasukkan alat seperti kamera, untuk mengesan penyakit ke dalam urat/saluran jantung adalah tidak membatalkan puasa.
15-      Begitu juga memasukkan alat ke dalam perut untuk mengesan penyakit, tidak membatalkan puasa. Tetapi sekiranya sampai kepada “Ma’idah” (usus), boleh membatalkan puasa.
16-      Dialisis (mencuci darah) yang mengandungi ubat-ubat yang boleh mengenyangkan atau memberi kekuatan boleh membatalkan puasa, sebaliknya kalau setakat membersihkan darah tanpa ubat-ubatan tidak membatalkan.
17-      Menggunakan cecair/sabun pencuci alat sulit wanita tidak membatalkan puasa.
18-      Memasukkan ubat ke dalam dubur untuk penyakit bawasir atau mengurangkan kepanasan suhu badan tidak membatalkan puasa, kerana ia tidak sampai kepada ma’idah.
19-      Memasukkan alat pengesan penyakit atau ubat melalui lubang zakar tidak membatalkan puasa.
20-      Menderma (mengambil) darah. Terdapat khilaf yang begitu besar dikalangan ulama’, tetapi pendapat yang lebih kuatnya tidak batal kerana dikiaskan kepada berbekam.
21-      Begitu juga mengambil sedikit darah untuk ujian pemeriksaan tidak membatalkan puasa.

Demikianlah beberapa masalah dan pandangan yang dipilih oleh beliau.
Bagi para pembaca yang mempunyai keahlian dalam bidang agama bebas untuk menilai manakah pendapat yang kuat berdasarkan dalil dan ta’lil yang dikemukakan, wallahu a’lam.


sumber : http://www.abuanasmadani.com



Dibawah ini saya bawakan makalah yang ditulis oleh sahabat saya, Ustaz Zaharuddin yang membincangkan tentang beberapa perkara yang membatalkan puasa.

Ramadhan: Batalkah Puasa Anda Jika…
Oleh: Zaharuddin Abd Rahman.
Ulama terbilang dunia ketika ini, Dr Yusoff Al-Qaradhawi pernah menyebut dan meluah rasa kurang setuju beliau dengan tindakan para ulama yang terlalu meluaskan perbuatan yang membatalkan puasa. Beliau lebih setuju untuk mengecilkan skop dan ruang lingkup pembatalan puasa kepada perbuatan yang benar-benar terdapat dalil tepat dari al-Quran, al-Hadith dan disepakati ulama sahaja.
Beliau berpendapat perbincangan panjang lebar oleh ulama silam, antaranya para ulama dari mazhab Hanafi dan ulama mazhab-mazhab lain menyebut sekitar 57 bentuk perbuatan yang membatalkan puasa adalah adalah tindakan yang kurang sesuai. Malah ia juga amat digemari oleh ulama masa kini sehingga terdapat yang menghabiskan masa begitu lama untuk merangka fatwa, berijtihad dan meletakkan kaedah bagi sesuatu perbuatan. Adakalanya ia adalah isu yang tidak memerlukan perhatian begitu mendalam.
Masalah ini dilihat semakin bertambah, apabila ijtihad dalam bab ini semakin bercambah hingga menyebabkan kesukaran orang kebanyakkan (awam) menjalankan ibadah ini dengan tenang kerana perincian perbuatan yang membatalkan puasa amat cabang (furu’) dan terlampau banyak. Ia menyebabkan orang awam yang terhad kemampuan, masa dan rujukan sering berada dalam kebimbangan dengan isu batal dan tidak batal puasa ini. Lebih dikesali adalah perbincangan tentang ini juga ada meninggalkan perbincangan yang lebih besar berkenaan Ramadhan. (Taysir al-Fiqh – Fiqh As-Siyam, hlm 86-87)

Sebagai contoh, antara isu terbesar yang patut diberikan fokus mendalam di waktu Ramadhan adalah:-
1) Raih Taqwa:
Firman Allah yang mengarahkan kita berusaha meraih taqwa di dalam bulan ini. Perbincangan berkenaan kaedah, cara dan cabaran yang boleh menghalang kita mencapai target ini perlu diberikan perhatian lebih.

 2) Bulan Ingatan Fungsi Al-Quran:
Firman Allah yang menyebut bahawa Al-Quran diturunkan di bulan Ramadhan ini sebagai petunjuk, dan bukti kebenaran petunjuk dan pembeza di antara haq dan yang batil. Justeru perbincangan berkenaan kemestian umat Islam kembali kepada Al-Quran sebagai satu-satunya formula untuk berjaya sebagai golongan bertaqwa dan selamat dunia akhirat perlu diperhebat.

3) Amaran Terhadap Pengikis Pahala Ramadhan Yang Pasti:
Sabda-sabda Nabi berkenaan tindakan yang boleh menghapuskan pahala puasa Ramadhan seperti bercakap kotor, nista, carut dan perbuatan jahat dan keji di waktu bulan ini. Ia perlu dipertekankan kerana ia adalah perkara yang disepakati bakal merosakkan pahala puasa seseorang walaupun ia tidak sampai membatalkan zahir puasanya.

4) Kaedah Penambah Pahala & Redha Allah di Bulan Ramadhan Yang Pasti: Sabda-sabda Nabi yang mengandungi janji-janji dan tawaran Allah di bulan ini juga perlu diperluas kepada orang ramai agar semakin ramai yang berpotensi ke Syurga Allah sekaligus melemahkan fungsi Syaitan dan nafsu amarah yang sentiasa ingin mengajak kepada kemaksiatan.

Adapun isu perkara yang membatalkan puasa, sewajarnya ditumpukan kepada hukum yang disepakati sahaja
Justeru, larangan yang disepakati tatkala puasa adalah:
1- Menahan nafsu syahwat.
2- Menanggung lapar dan dahaga.
3- Menahan diri dari bersetubuh dengan isteri di siang hari
Semuanya dilakukan dengan niat ikhlas ibadat kerana Allah.
Inilah yang dijelaskan dari al-Quran dan as-sunnah.
Demikian juga menjauhi kata-kata nista, bohong, mengumpat, cercaan dan lain-lain dosa anggota demi kerana Allah. Ia disebut di dalam ayat al-Baqarah: 187 dan disokong oleh hadith-hadith yang banyak.
Merokok, keluar darah haid atau nifas dan hilang aqal adalah dipersetujui secara sepakat ulama membatalkan puasa.

Adapun yang tidak disepakati, boleh dibincangkan cuma jangan sampai ia mengambil perhatian utama kita apabila berada di dalam Ramdhan.

Sebagai panduan, berikut disertakan beberapa hukum secara ringkas berkaitan puasa yang kerap ditanya oleh orang ramai:-
1) Darah keluar dari tubuh; samada untuk berbekam, ambil darah pesakit, menderma darah, tercedera, darah dari hidung, tangan dan lain-lain.
Hukumnya: Tidak batal puasa kerana yang membatalkan adalah yang masuk ke tubuh melalui saluran terbuka hingga ke perut dan bukannya ‘yang keluar’ dari tubuh. (As-Siyam Muhdathatuhu wa hawadithuhu, Dr Muhd ‘Uqlah, hlm 215).
Manakala pandangan pembatalan puasa dengan berbekam yang berdalil hadith riwayat Abu Daud dan Ibn Majah dengan sanad sohih menurut Imam An-Nawawi, ia telah di pinda (nasakh) dengan hadith dari Ibn Abbas yang menyebut Nabi SAW berbekam dalam keadaan baginda berpuasa. (Riwayat Al-Bukari, 3/43) kerana hadith dari Ibn Abbas ini berlaku tatkala Haji Wada’ dan terkemudian dari hadith yang menyebut batal kerana bekam. (Tasysir al-Fiqh, Qaradawi, hlm 90). Malah ini juga padangan majoriti mazhab kecuali Hanbali. (Bidayatul Mujtahid, 1/247).

2) Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka dan dikeluarkan kembali tanpa sampai ke perut dan yang seumpamanya di bahagian kepala.
Ia seperti memasukkan alat tertentu ke dalam kemaluan wanita atau dubur ketika proses perubatan yang berkaitan, demikian juga memasukkan jari ke dalam hidung, telinga, mulut dan dubur.
Hukumnya: Tidak membatalkan puasa kecuali jika alatan itu dibiar tinggal di dalam kemaluan tadi, kerana illah @ faktor penyebab batal puasa adalah masuknya sesuatu berfizikal ke perut. Terkecuali juga, wanita atau lelaki yang memasukkan jarinya ke dubur atau kemaluannya dengan tujuan nafsu, maka ia membatalkan puasa, tetapi jika tujuan istinja’ atau membasuhnya maka hukum yang lebih kuat menurut para ulama adalah tidak batal. (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 211).
Ini juga dipersetujui oleh Syeikh Atiyyah Saqar yang mengatakan masuk sesuatu ke telinga dan hidung yang tidak sampai ke perut atau bahagian otak adalah tidak membatalkan puasa. (Min Ahsanil Kalam fil Fatawa).
Tidak dinafikan terdapat fatwa yang mengatakan batal, justeru, nasihat saya adalah lebih baik menjauhinya kiranya tiada tujuan yang agak mendesak. Kerana menjauhi yang khilaf (perbezaan pendapat) itu lebih baik.

3) Pil elak haid untuk puasa penuh:
Hukumnya: Harus dengan syarat tidak membawa mudarat kepada pusingan haidnya, dan memerlukan nasihat doktor Islam yang berwibawa.

4) Penyembur gas untuk pesakit lelah:
Hukumnya: Pada bulan Julai 2007, Persidangan Majlis Fiqh Antarabangsa (Majma’ A-Fiqh Al-Islami) di Putrajaya ada membincangkan isu ini. Tidak dinafikan ia satu isu yang amat kerap dibincangkan oleh para ulama seantero dunia dan mereka berbeza pandangan apabila sebahagian menyatakannya batal dan sebahagian lain menolak.
Menurut kajian terperinci bantuan para doktor, mendapati gas semburan itu punyai jisim-jisim putih yang jelas kelihatan jika di sembur di atas kertas. Selain itu, hampir 90 % darinya akan terus masuk ke tekak dan melekat di esophagus dan terus ke perut. Ini bermakna ianya jisim-jisim gas itu masuk ke perut setiap kali semburan. Justeru sudah pasti ia membatalkan puasa. Demikian pandangan awal dari Majlis Fiqh Antarabangsa yang bersidang Julai 2007 baru-baru ini, tetapi kemudiannya mereka menarik balik keputusan mereka untuk dibincangkan lebih terperinci dalam persidangan akan datang. 
Bagaimanapun para ulama masih bergantung kepada makumat jelas dari para doktor bagi memberikan fatwa tepat kerana Syeikh At-Tantawi, Syeikh Dr Muhd ‘Uqlah, menyebut hukumnya tidak batal kerana gas itu hanya terhenti di paru-paru dan tidak masuk ke perut.
Manakala, ubat lelah jenis hidu melalui hidung adalah membatalkan puasa kerana ia akan masuk ke bahagian kepala. (As-Siyam, Dr Md Uqlah, hlm 226).

5) Suntikan ke dalam tubuh melalui tangan, kaki selain rongga terbuka yang asal:
Hukumnya: Terdapat dua jenis: samada untuk berubat atau untuk menguatkan. Jika ia digunakan untuk mengurangkan demam, bius, pain killer dan apa jua tujuan asas perubatan, ia disepakati tidak membatalkan puasa (Al-Qaradawi, hlm 100; ‘Uqlah, hlm 226). Demikian juga hukumnya suntikan kalsium dan sebagainya untuk kekuatan badan demi perubatan.
Berkenaan suntikan makanan, air seperti glukos dan sepertinya untuk tujuan perubatan; para ulama sekali lagi berbeza pandangan: Pandangan majoriti adalah: Tidak membatalkan puasa kerana ia tidak masuk ke dalam tubuh melalui rongga terbuka dan ia tidak mengenyangkan serta tidak bercangah dengan hikmah puasa. Ia adalah fatwa oleh Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, Syeikh Md Bakhit, Syeikh Abd Rahman Taj, Syeikh Ahmad As-Syurbashi, Keputusan Lajnah Fatwa Azhar tahun 1948 (Taysir Al-Fiqh As-Siyam, hlm 100; Fatawa Syar’iyyah, hlm 268; Yasalunaka, 5/53 dll).
Bagaimanapun, suntikan jenis makanan ini membatalkan puasa terutama jika dilakukan secara sengaja untuk melarikan diri dari ujian keletihan lapar dahaga puasa.

6) Berkumur-kumur dan air masuk ke rongga hidung semasa wudhu.
Hukumnya: Tidak membatalkan puasa, cuma jika berlebihan berkumur ulama Syafie mengatakannya terbatal. Justeru, jauhilah berlebihan di ketika puasa dalah lebih baik.
Ia berdasarkan hadith: “Sempurnakan wudhu, basuhlah celah-celah jari jemarimu, dan lebih-lebihkan menyedut air ke hidungmu kecuali tatkala kamu berpuasa” (Riwayat Abu Daud, no 142; At-Tirmidzi, 788; Al-Hakim, Sohih menurut Ibn Khuzaymah, Ibn Hibban & Al-Hakim dan dipersetujui oleh Az-Zahabi; al-Albani; Sohih).

7) Melakukan Maksiat seperti tidak solat:
Hukumnya: Tidak batal puasa menurut majoriti mazhab dan ulama. Akan tetapi dosa maksiat itu akan ditanggung berasingan mengikut jenis maksiat, malah mungkin bertambah besar dosanya kerana mencarik kehormatan Ramadhan. Pahala puasanya pula akan terhapus Selain itu, ia juga mencarikkan keseluruhan tujuan berpuasa iaitu bagi melahirkan insan taqwa dan jauh dari maksiat. (Qaradawi, hlm 104) Nabi bersabda: “Barangsiapa sempat bertemu Ramadhan dan tidak diampun dosanya, maka semakin jauh ia dengan Allah” (Riwayat Ibn Hibban)

8) Mencium lelaki dan wanita semasa berpuasa.
Hukumnya: Mencium isteri atau suami tatkala berpuasa, tidak batal menurut majoriti ulama.
Ia berdasarkan beberapa dalil antaranya :-
كان رسول اللهِ  يُقَبِّلُ وهو صَائِمٌ، وَيُبَاشِرُ وهو صَائِمٌ، وَلَكِنَّهُ كان أَمْلَكَ لإِرْبِهِ
Ertinya: “Nabi S.a.w mencium dan bermesra (dengan isterinya) dalam keadaan ia berpuasa, tetapi baginda adalah seorang yang menguasai diri dan nafsunya” (Riwayat Abu Daud, 2/311; Syuaib Arnaout: Sohih).
Dan satu lagi diriwayatkan: Ertinya: Kami bersama Nabi saw tiba-tiba datang seorang pemuda dan bertanya: Aku berpuasa dan aku mencium isteriku, jawab nabi: Jangan. Tiba-tiba datang seorang tua dan bertanya soalan yang sama: Jawab nabi: Ye (tiada masalah). Kami kami saling berpandangan antara satu sama lain, maka nabi berkata: “Aku tahu apa mengapa kamu saling berpandangan antara satu sama lain, sesungguhnya orang tua mampu mengawal dirinya (nafsu)“. (Riwayat Ahmad dan At-Tabarani, sanad terdapat Ibn Lahi’ah yang diperkatakan tentangnya, menyebabkan hadis dianggap dhoif).
Al-Qaradawi pula menambah “berapa ramai orang tua zaman sekarang yang turut tidak mampu mengawal nafsunya”. (Fiqh As-Siyam, hlm 106).
Kesimpulannya, ia tidak membatalkan puasa dan ciuman sebegini tidak harus jika ia boleh membawa mudarat seperti menaikkan nafsu dan boleh membawa kepada persetubuhan di siang hari Ramadhan.

9) Wanita tamat haid.
Wanita tamat haid pada waktu malam dan sempat niat pada waktu malamnya sebelum naik fajar subuh. Ia dikira sah walaupun belum mandi hadas. Jika ia tidak sempat berniat sebelum fajar subuh, seperti belum makan dan minum apa-apa pada pagi itu, kemudian pada jam 8 pagi haidnya kering, ia tidak dikira boleh berpuasa pada hari itu kerana tiada niat bagi puasa wajib boleh dibuat selepas terbit fajar. Demikian juga ditegaskan oleh majoriti ulama (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/201).
Dalilnya adalah :-
من لم يُجْمِعْ الصِّيَامَ قبل الْفَجْرِ فلا صِيَامَ له
Ertinya: “Barangsiapa yang tidak berniat untuk puasa sebelum fajar, tiada puasa (wajib) baginya“. (Riwayat Abu Daud, 3/108; Albani: Sohih).

10) Keluar air mazi.
Air mazi adalah air yang keluar dari kemaluan lelaki atau perempuan kerana naik syahwat. Banyak persoalan berkenaan keluarnya air mazi semasa berpuasa, samada ia membatalkan puasa atau tidak?
Zahir dalam mazhab Hanbali menyatakan, ia membatalkan puasa.
Bagaimanapun mazhab Hanafi, Syafi’e, Awzai’e, Hasan al-Basri, As-Sya’bi dan Imam Ahmad dalam satu pendapatnya berfatwa keluarnya air mazi tidak membatalkan puasa. Saya lebih cenderung dengan pendapat ini.

11) Keluar air mani tanpa setubuh.
Mencium dan menyentuh sehingga keluarnya mani dengan syahwat adalah membatalkan puasa dan wajib qadha, ia adalah disepakati oleh seluruh ulama.
Adapun keluarnya air mani hanya kerana berfikir lucah dan melihat dengan syahwat, ia tidaklah batal menurut sebahagian ulama termasuk mazhab Syafie, Hanafi. (Al-Mughni, 4/159)
Manakala mazhab Hanbali dan Maliki mengatakannya batal.
Walau bagaimanapun, saya lebih cenderung dengan pendapat yang mengatakannya batal kerana ia benar-benar bercanggah dengan tujuan dan maqasid puasa dalam Islam. Selain itu, ia juga adalah sama dengannya keluar mani kerana sentuhan.
Keluar air mani kerana bermimpi di siang hari Ramadhan atau kerana sakit tertentu. Sepakat ulama menyatakan ia tidak membatalkan puasa.

12) Menelan air liur.
Hukum: Ia tidak membatalkan puasa disebabkan terlalu sukarnya untuk menjaga hal seperti ini. (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/159).

13 ) Mandi.
Tiada masalah untuk orang berpuasa mandi, ia tidak membatalkan puasa. Dalilnya adalah hadis yang menunjukkan Nabi s.a.w mengizinkan orang yang junub mandi selepas waktu subuh. Ibn Abbas juga pernah disebutkan mandi ketika berpuasa.

14) Berniat berbuka atau membatalkan puasa sebelum waktu.
Tindakan sebegini adalah membatalkan puasa menurut mazhab Syafie, Hanbali dan Hanafi. Cuma jika dengan segera seseorang itu kembali berniat dan membetulkan niatnya tadi, puasa tidak terbatal.
Justeru, seluruh individu berpuasa wajib menjaga niatnya agar tidak terpesong untuk membatalkannya. Imam Ibn Quddamah menolak pandagan yang mengatakan tidak batal kerana ibadah itu adalah berdasarkan niat seperti solat juga yang akan terbatal jika berniat membatalkannya. (Al-Mughni, 4/175) Sekian.


Soalan: Jika si suami itu membuka puasa dahulu sebelum bersetubuh dengan isterinya, Apakah dia tidak perlu membayar kaffarah, memadai dengan menggantikan puasa sahaja?  

 UZAR: Memang ada pandangan yang menyebut tiada kaffarah kalau sudah membatalkan puasa sebelum bersetubuh, namun saya bersama mejoriti ulama yang tetap berpandangan kena kaffarah kerana pembatalan puasa untuk setubuh dan elak kaffarah itu adalah satu helah yang keji dan cuba menipu Allah swt.

(Zaharuddin Abd Rahman. 13 Sept 2007 – 01 Ramadhan 1428H. http://www.zaharuddin.net/ ULANG SIAR: 02 SEPTEMBER 2008). / (Majalah I, Bil. 82. Ogos 2009).


Sekian.