Tuesday, July 24, 2012

Ramadhan: Batalkah Puasa Anda Jika…

Perkara-perkara yang membatalkan puasa sebagaimana yang disepakati (Ittifaq) ulama’ berdasarkan kepada nas al-Quran, hadis dan ijma’ ialah empat perkara;
1)  Makan,
2) Minum,
3) Jima’.
Dalilnya ialah firman Allah swt yang bermaksud: “…Maka sekarang campurilah mereka dan ikutilah apa yang telah ditetapkan Allah untukmu, dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih dari benang hitam, yaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai (datang) malam…”. [Al-Baqarah:187].
4) Haid dan Nifas.
Dalilnya hadis Abu Said al-Khudri yang bermaksud: Sabda Rasulullah saw: “Bukankah perempuan itu apabila mereka haid, tidak bersolat dan tidak berpuasa…”. [Bukhari: 304, Muslim: 79].

 Di bawah ini ialah ringkasan dan kesimpulan yang dibuat oleh penulis;
1-    Pendapat yang mengatakan “al-Jauf”, iaitu rongga yang membatalkan puasa apabila masuk makanan ke dalamnya      adalah “Ma’idah” (perut) sahaja, tidak termasuk lubang-lubang lain di badan manusia.
2-    Ulama’ semasa berbeza pendapat tentang “Bakhkhah ar-Rabwu” (penyembur gas untuk penyakit lelah). Pendapat yang paling hampir dengan kebenaran (pada pandangan penulis) adalah tidak batal.
3-    Pil yang diletakkan di bawah lidah bagi pesakit jantung, yang dihisap secara terus dan tidak masuk ke dalam rongga adalah tidak membatalkan puasa.
4-    Alat yang dimasukkan ke dalam ma’idah (usus) untuk mengesan penyakit juga tidak membatalkan puasa. Kecuali jika diletak ubat/minyak pada alat tersebut maka ia boleh membatalkan puasa.
5-    Ulama’ semasa juga berbeza pendapat tentang ubat titis ke dalam hidung. Ada yang mengatakan tidak batal, tetapi majoriti mengatakan batal. Pendapat yang paling hampir dekat dengan kebenaran (pada pandangan penulis) adalah tidak batal.
6-    Gas oksigen tidak membatalkan puasa kerana ia hanyalah angin/udara yang tidak terdapat anasir lain di dalamnya.
7-    Begitu juga gas yang disedut melalui hidung, hukumnya sama dengan penyembur lelah (no. 2).
8-    Bius setempat tidak membatalkan puasa. Manakala bius penuh sepanjang hari membatalkan puasa tetapi sekiranya pesakit tersedar dan masih berbaki waktu puasa hari tersebut tidak batal puasanya.
9-    Ubat titis ke dalam telinga juga tidak membatalkan puasa kerana rongganya tidak bersambung dengan “Jauf”.
10-      Ubat titis mata, mengikut majoriti ulama’ semasa, tidak membatalkan puasa.
11-      Suntikan ubat melalui kulit, urat dan otot mengikut majoriti ulama’ semasa tidak membatalkan puasa.
12-      Memasukkan air dan benda yang boleh mengenyangkan seperti glukos ke dalam urat, mengikut majoriti ulama’ semasa adalah membatalkan puasa.
13-      Melumur minyak, losyen dan sebagainya pada kulit, tidak membatalkan puasa.
14-      Memasukkan alat seperti kamera, untuk mengesan penyakit ke dalam urat/saluran jantung adalah tidak membatalkan puasa.
15-      Begitu juga memasukkan alat ke dalam perut untuk mengesan penyakit, tidak membatalkan puasa. Tetapi sekiranya sampai kepada “Ma’idah” (usus), boleh membatalkan puasa.
16-      Dialisis (mencuci darah) yang mengandungi ubat-ubat yang boleh mengenyangkan atau memberi kekuatan boleh membatalkan puasa, sebaliknya kalau setakat membersihkan darah tanpa ubat-ubatan tidak membatalkan.
17-      Menggunakan cecair/sabun pencuci alat sulit wanita tidak membatalkan puasa.
18-      Memasukkan ubat ke dalam dubur untuk penyakit bawasir atau mengurangkan kepanasan suhu badan tidak membatalkan puasa, kerana ia tidak sampai kepada ma’idah.
19-      Memasukkan alat pengesan penyakit atau ubat melalui lubang zakar tidak membatalkan puasa.
20-      Menderma (mengambil) darah. Terdapat khilaf yang begitu besar dikalangan ulama’, tetapi pendapat yang lebih kuatnya tidak batal kerana dikiaskan kepada berbekam.
21-      Begitu juga mengambil sedikit darah untuk ujian pemeriksaan tidak membatalkan puasa.

Demikianlah beberapa masalah dan pandangan yang dipilih oleh beliau.
Bagi para pembaca yang mempunyai keahlian dalam bidang agama bebas untuk menilai manakah pendapat yang kuat berdasarkan dalil dan ta’lil yang dikemukakan, wallahu a’lam.


sumber : http://www.abuanasmadani.com



Dibawah ini saya bawakan makalah yang ditulis oleh sahabat saya, Ustaz Zaharuddin yang membincangkan tentang beberapa perkara yang membatalkan puasa.

Ramadhan: Batalkah Puasa Anda Jika…
Oleh: Zaharuddin Abd Rahman.
Ulama terbilang dunia ketika ini, Dr Yusoff Al-Qaradhawi pernah menyebut dan meluah rasa kurang setuju beliau dengan tindakan para ulama yang terlalu meluaskan perbuatan yang membatalkan puasa. Beliau lebih setuju untuk mengecilkan skop dan ruang lingkup pembatalan puasa kepada perbuatan yang benar-benar terdapat dalil tepat dari al-Quran, al-Hadith dan disepakati ulama sahaja.
Beliau berpendapat perbincangan panjang lebar oleh ulama silam, antaranya para ulama dari mazhab Hanafi dan ulama mazhab-mazhab lain menyebut sekitar 57 bentuk perbuatan yang membatalkan puasa adalah adalah tindakan yang kurang sesuai. Malah ia juga amat digemari oleh ulama masa kini sehingga terdapat yang menghabiskan masa begitu lama untuk merangka fatwa, berijtihad dan meletakkan kaedah bagi sesuatu perbuatan. Adakalanya ia adalah isu yang tidak memerlukan perhatian begitu mendalam.
Masalah ini dilihat semakin bertambah, apabila ijtihad dalam bab ini semakin bercambah hingga menyebabkan kesukaran orang kebanyakkan (awam) menjalankan ibadah ini dengan tenang kerana perincian perbuatan yang membatalkan puasa amat cabang (furu’) dan terlampau banyak. Ia menyebabkan orang awam yang terhad kemampuan, masa dan rujukan sering berada dalam kebimbangan dengan isu batal dan tidak batal puasa ini. Lebih dikesali adalah perbincangan tentang ini juga ada meninggalkan perbincangan yang lebih besar berkenaan Ramadhan. (Taysir al-Fiqh – Fiqh As-Siyam, hlm 86-87)

Sebagai contoh, antara isu terbesar yang patut diberikan fokus mendalam di waktu Ramadhan adalah:-
1) Raih Taqwa:
Firman Allah yang mengarahkan kita berusaha meraih taqwa di dalam bulan ini. Perbincangan berkenaan kaedah, cara dan cabaran yang boleh menghalang kita mencapai target ini perlu diberikan perhatian lebih.

 2) Bulan Ingatan Fungsi Al-Quran:
Firman Allah yang menyebut bahawa Al-Quran diturunkan di bulan Ramadhan ini sebagai petunjuk, dan bukti kebenaran petunjuk dan pembeza di antara haq dan yang batil. Justeru perbincangan berkenaan kemestian umat Islam kembali kepada Al-Quran sebagai satu-satunya formula untuk berjaya sebagai golongan bertaqwa dan selamat dunia akhirat perlu diperhebat.

3) Amaran Terhadap Pengikis Pahala Ramadhan Yang Pasti:
Sabda-sabda Nabi berkenaan tindakan yang boleh menghapuskan pahala puasa Ramadhan seperti bercakap kotor, nista, carut dan perbuatan jahat dan keji di waktu bulan ini. Ia perlu dipertekankan kerana ia adalah perkara yang disepakati bakal merosakkan pahala puasa seseorang walaupun ia tidak sampai membatalkan zahir puasanya.

4) Kaedah Penambah Pahala & Redha Allah di Bulan Ramadhan Yang Pasti: Sabda-sabda Nabi yang mengandungi janji-janji dan tawaran Allah di bulan ini juga perlu diperluas kepada orang ramai agar semakin ramai yang berpotensi ke Syurga Allah sekaligus melemahkan fungsi Syaitan dan nafsu amarah yang sentiasa ingin mengajak kepada kemaksiatan.

Adapun isu perkara yang membatalkan puasa, sewajarnya ditumpukan kepada hukum yang disepakati sahaja
Justeru, larangan yang disepakati tatkala puasa adalah:
1- Menahan nafsu syahwat.
2- Menanggung lapar dan dahaga.
3- Menahan diri dari bersetubuh dengan isteri di siang hari
Semuanya dilakukan dengan niat ikhlas ibadat kerana Allah.
Inilah yang dijelaskan dari al-Quran dan as-sunnah.
Demikian juga menjauhi kata-kata nista, bohong, mengumpat, cercaan dan lain-lain dosa anggota demi kerana Allah. Ia disebut di dalam ayat al-Baqarah: 187 dan disokong oleh hadith-hadith yang banyak.
Merokok, keluar darah haid atau nifas dan hilang aqal adalah dipersetujui secara sepakat ulama membatalkan puasa.

Adapun yang tidak disepakati, boleh dibincangkan cuma jangan sampai ia mengambil perhatian utama kita apabila berada di dalam Ramdhan.

Sebagai panduan, berikut disertakan beberapa hukum secara ringkas berkaitan puasa yang kerap ditanya oleh orang ramai:-
1) Darah keluar dari tubuh; samada untuk berbekam, ambil darah pesakit, menderma darah, tercedera, darah dari hidung, tangan dan lain-lain.
Hukumnya: Tidak batal puasa kerana yang membatalkan adalah yang masuk ke tubuh melalui saluran terbuka hingga ke perut dan bukannya ‘yang keluar’ dari tubuh. (As-Siyam Muhdathatuhu wa hawadithuhu, Dr Muhd ‘Uqlah, hlm 215).
Manakala pandangan pembatalan puasa dengan berbekam yang berdalil hadith riwayat Abu Daud dan Ibn Majah dengan sanad sohih menurut Imam An-Nawawi, ia telah di pinda (nasakh) dengan hadith dari Ibn Abbas yang menyebut Nabi SAW berbekam dalam keadaan baginda berpuasa. (Riwayat Al-Bukari, 3/43) kerana hadith dari Ibn Abbas ini berlaku tatkala Haji Wada’ dan terkemudian dari hadith yang menyebut batal kerana bekam. (Tasysir al-Fiqh, Qaradawi, hlm 90). Malah ini juga padangan majoriti mazhab kecuali Hanbali. (Bidayatul Mujtahid, 1/247).

2) Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka dan dikeluarkan kembali tanpa sampai ke perut dan yang seumpamanya di bahagian kepala.
Ia seperti memasukkan alat tertentu ke dalam kemaluan wanita atau dubur ketika proses perubatan yang berkaitan, demikian juga memasukkan jari ke dalam hidung, telinga, mulut dan dubur.
Hukumnya: Tidak membatalkan puasa kecuali jika alatan itu dibiar tinggal di dalam kemaluan tadi, kerana illah @ faktor penyebab batal puasa adalah masuknya sesuatu berfizikal ke perut. Terkecuali juga, wanita atau lelaki yang memasukkan jarinya ke dubur atau kemaluannya dengan tujuan nafsu, maka ia membatalkan puasa, tetapi jika tujuan istinja’ atau membasuhnya maka hukum yang lebih kuat menurut para ulama adalah tidak batal. (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 211).
Ini juga dipersetujui oleh Syeikh Atiyyah Saqar yang mengatakan masuk sesuatu ke telinga dan hidung yang tidak sampai ke perut atau bahagian otak adalah tidak membatalkan puasa. (Min Ahsanil Kalam fil Fatawa).
Tidak dinafikan terdapat fatwa yang mengatakan batal, justeru, nasihat saya adalah lebih baik menjauhinya kiranya tiada tujuan yang agak mendesak. Kerana menjauhi yang khilaf (perbezaan pendapat) itu lebih baik.

3) Pil elak haid untuk puasa penuh:
Hukumnya: Harus dengan syarat tidak membawa mudarat kepada pusingan haidnya, dan memerlukan nasihat doktor Islam yang berwibawa.

4) Penyembur gas untuk pesakit lelah:
Hukumnya: Pada bulan Julai 2007, Persidangan Majlis Fiqh Antarabangsa (Majma’ A-Fiqh Al-Islami) di Putrajaya ada membincangkan isu ini. Tidak dinafikan ia satu isu yang amat kerap dibincangkan oleh para ulama seantero dunia dan mereka berbeza pandangan apabila sebahagian menyatakannya batal dan sebahagian lain menolak.
Menurut kajian terperinci bantuan para doktor, mendapati gas semburan itu punyai jisim-jisim putih yang jelas kelihatan jika di sembur di atas kertas. Selain itu, hampir 90 % darinya akan terus masuk ke tekak dan melekat di esophagus dan terus ke perut. Ini bermakna ianya jisim-jisim gas itu masuk ke perut setiap kali semburan. Justeru sudah pasti ia membatalkan puasa. Demikian pandangan awal dari Majlis Fiqh Antarabangsa yang bersidang Julai 2007 baru-baru ini, tetapi kemudiannya mereka menarik balik keputusan mereka untuk dibincangkan lebih terperinci dalam persidangan akan datang. 
Bagaimanapun para ulama masih bergantung kepada makumat jelas dari para doktor bagi memberikan fatwa tepat kerana Syeikh At-Tantawi, Syeikh Dr Muhd ‘Uqlah, menyebut hukumnya tidak batal kerana gas itu hanya terhenti di paru-paru dan tidak masuk ke perut.
Manakala, ubat lelah jenis hidu melalui hidung adalah membatalkan puasa kerana ia akan masuk ke bahagian kepala. (As-Siyam, Dr Md Uqlah, hlm 226).

5) Suntikan ke dalam tubuh melalui tangan, kaki selain rongga terbuka yang asal:
Hukumnya: Terdapat dua jenis: samada untuk berubat atau untuk menguatkan. Jika ia digunakan untuk mengurangkan demam, bius, pain killer dan apa jua tujuan asas perubatan, ia disepakati tidak membatalkan puasa (Al-Qaradawi, hlm 100; ‘Uqlah, hlm 226). Demikian juga hukumnya suntikan kalsium dan sebagainya untuk kekuatan badan demi perubatan.
Berkenaan suntikan makanan, air seperti glukos dan sepertinya untuk tujuan perubatan; para ulama sekali lagi berbeza pandangan: Pandangan majoriti adalah: Tidak membatalkan puasa kerana ia tidak masuk ke dalam tubuh melalui rongga terbuka dan ia tidak mengenyangkan serta tidak bercangah dengan hikmah puasa. Ia adalah fatwa oleh Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, Syeikh Md Bakhit, Syeikh Abd Rahman Taj, Syeikh Ahmad As-Syurbashi, Keputusan Lajnah Fatwa Azhar tahun 1948 (Taysir Al-Fiqh As-Siyam, hlm 100; Fatawa Syar’iyyah, hlm 268; Yasalunaka, 5/53 dll).
Bagaimanapun, suntikan jenis makanan ini membatalkan puasa terutama jika dilakukan secara sengaja untuk melarikan diri dari ujian keletihan lapar dahaga puasa.

6) Berkumur-kumur dan air masuk ke rongga hidung semasa wudhu.
Hukumnya: Tidak membatalkan puasa, cuma jika berlebihan berkumur ulama Syafie mengatakannya terbatal. Justeru, jauhilah berlebihan di ketika puasa dalah lebih baik.
Ia berdasarkan hadith: “Sempurnakan wudhu, basuhlah celah-celah jari jemarimu, dan lebih-lebihkan menyedut air ke hidungmu kecuali tatkala kamu berpuasa” (Riwayat Abu Daud, no 142; At-Tirmidzi, 788; Al-Hakim, Sohih menurut Ibn Khuzaymah, Ibn Hibban & Al-Hakim dan dipersetujui oleh Az-Zahabi; al-Albani; Sohih).

7) Melakukan Maksiat seperti tidak solat:
Hukumnya: Tidak batal puasa menurut majoriti mazhab dan ulama. Akan tetapi dosa maksiat itu akan ditanggung berasingan mengikut jenis maksiat, malah mungkin bertambah besar dosanya kerana mencarik kehormatan Ramadhan. Pahala puasanya pula akan terhapus Selain itu, ia juga mencarikkan keseluruhan tujuan berpuasa iaitu bagi melahirkan insan taqwa dan jauh dari maksiat. (Qaradawi, hlm 104) Nabi bersabda: “Barangsiapa sempat bertemu Ramadhan dan tidak diampun dosanya, maka semakin jauh ia dengan Allah” (Riwayat Ibn Hibban)

8) Mencium lelaki dan wanita semasa berpuasa.
Hukumnya: Mencium isteri atau suami tatkala berpuasa, tidak batal menurut majoriti ulama.
Ia berdasarkan beberapa dalil antaranya :-
كان رسول اللهِ  يُقَبِّلُ وهو صَائِمٌ، وَيُبَاشِرُ وهو صَائِمٌ، وَلَكِنَّهُ كان أَمْلَكَ لإِرْبِهِ
Ertinya: “Nabi S.a.w mencium dan bermesra (dengan isterinya) dalam keadaan ia berpuasa, tetapi baginda adalah seorang yang menguasai diri dan nafsunya” (Riwayat Abu Daud, 2/311; Syuaib Arnaout: Sohih).
Dan satu lagi diriwayatkan: Ertinya: Kami bersama Nabi saw tiba-tiba datang seorang pemuda dan bertanya: Aku berpuasa dan aku mencium isteriku, jawab nabi: Jangan. Tiba-tiba datang seorang tua dan bertanya soalan yang sama: Jawab nabi: Ye (tiada masalah). Kami kami saling berpandangan antara satu sama lain, maka nabi berkata: “Aku tahu apa mengapa kamu saling berpandangan antara satu sama lain, sesungguhnya orang tua mampu mengawal dirinya (nafsu)“. (Riwayat Ahmad dan At-Tabarani, sanad terdapat Ibn Lahi’ah yang diperkatakan tentangnya, menyebabkan hadis dianggap dhoif).
Al-Qaradawi pula menambah “berapa ramai orang tua zaman sekarang yang turut tidak mampu mengawal nafsunya”. (Fiqh As-Siyam, hlm 106).
Kesimpulannya, ia tidak membatalkan puasa dan ciuman sebegini tidak harus jika ia boleh membawa mudarat seperti menaikkan nafsu dan boleh membawa kepada persetubuhan di siang hari Ramadhan.

9) Wanita tamat haid.
Wanita tamat haid pada waktu malam dan sempat niat pada waktu malamnya sebelum naik fajar subuh. Ia dikira sah walaupun belum mandi hadas. Jika ia tidak sempat berniat sebelum fajar subuh, seperti belum makan dan minum apa-apa pada pagi itu, kemudian pada jam 8 pagi haidnya kering, ia tidak dikira boleh berpuasa pada hari itu kerana tiada niat bagi puasa wajib boleh dibuat selepas terbit fajar. Demikian juga ditegaskan oleh majoriti ulama (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/201).
Dalilnya adalah :-
من لم يُجْمِعْ الصِّيَامَ قبل الْفَجْرِ فلا صِيَامَ له
Ertinya: “Barangsiapa yang tidak berniat untuk puasa sebelum fajar, tiada puasa (wajib) baginya“. (Riwayat Abu Daud, 3/108; Albani: Sohih).

10) Keluar air mazi.
Air mazi adalah air yang keluar dari kemaluan lelaki atau perempuan kerana naik syahwat. Banyak persoalan berkenaan keluarnya air mazi semasa berpuasa, samada ia membatalkan puasa atau tidak?
Zahir dalam mazhab Hanbali menyatakan, ia membatalkan puasa.
Bagaimanapun mazhab Hanafi, Syafi’e, Awzai’e, Hasan al-Basri, As-Sya’bi dan Imam Ahmad dalam satu pendapatnya berfatwa keluarnya air mazi tidak membatalkan puasa. Saya lebih cenderung dengan pendapat ini.

11) Keluar air mani tanpa setubuh.
Mencium dan menyentuh sehingga keluarnya mani dengan syahwat adalah membatalkan puasa dan wajib qadha, ia adalah disepakati oleh seluruh ulama.
Adapun keluarnya air mani hanya kerana berfikir lucah dan melihat dengan syahwat, ia tidaklah batal menurut sebahagian ulama termasuk mazhab Syafie, Hanafi. (Al-Mughni, 4/159)
Manakala mazhab Hanbali dan Maliki mengatakannya batal.
Walau bagaimanapun, saya lebih cenderung dengan pendapat yang mengatakannya batal kerana ia benar-benar bercanggah dengan tujuan dan maqasid puasa dalam Islam. Selain itu, ia juga adalah sama dengannya keluar mani kerana sentuhan.
Keluar air mani kerana bermimpi di siang hari Ramadhan atau kerana sakit tertentu. Sepakat ulama menyatakan ia tidak membatalkan puasa.

12) Menelan air liur.
Hukum: Ia tidak membatalkan puasa disebabkan terlalu sukarnya untuk menjaga hal seperti ini. (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/159).

13 ) Mandi.
Tiada masalah untuk orang berpuasa mandi, ia tidak membatalkan puasa. Dalilnya adalah hadis yang menunjukkan Nabi s.a.w mengizinkan orang yang junub mandi selepas waktu subuh. Ibn Abbas juga pernah disebutkan mandi ketika berpuasa.

14) Berniat berbuka atau membatalkan puasa sebelum waktu.
Tindakan sebegini adalah membatalkan puasa menurut mazhab Syafie, Hanbali dan Hanafi. Cuma jika dengan segera seseorang itu kembali berniat dan membetulkan niatnya tadi, puasa tidak terbatal.
Justeru, seluruh individu berpuasa wajib menjaga niatnya agar tidak terpesong untuk membatalkannya. Imam Ibn Quddamah menolak pandagan yang mengatakan tidak batal kerana ibadah itu adalah berdasarkan niat seperti solat juga yang akan terbatal jika berniat membatalkannya. (Al-Mughni, 4/175) Sekian.


Soalan: Jika si suami itu membuka puasa dahulu sebelum bersetubuh dengan isterinya, Apakah dia tidak perlu membayar kaffarah, memadai dengan menggantikan puasa sahaja?  

 UZAR: Memang ada pandangan yang menyebut tiada kaffarah kalau sudah membatalkan puasa sebelum bersetubuh, namun saya bersama mejoriti ulama yang tetap berpandangan kena kaffarah kerana pembatalan puasa untuk setubuh dan elak kaffarah itu adalah satu helah yang keji dan cuba menipu Allah swt.

(Zaharuddin Abd Rahman. 13 Sept 2007 – 01 Ramadhan 1428H. http://www.zaharuddin.net/ ULANG SIAR: 02 SEPTEMBER 2008). / (Majalah I, Bil. 82. Ogos 2009).


Sekian.

Hukum Menderma Darah Bulan Ramadhan

 

Mungkin di kalangan kita kurang tahu mengenainya. Allah memberi kesempatan untuk mengkaji hukum ini. Sukalah saya di sini untuk berkongsi dengan pembaca supaya ilmu Allah itu tidak menjadi sempit dan akan tersebar meluas.

Pada hakikatnya isu ini adalah isu terkini. Sama sekali tidak wujud di zaman Rasulallah, zaman sahabat, mahupun di zaman tabie' dan tabie' tabien. Bahkan juga pada zaman Imam yang empat. Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali. Tidak mungkin kita memperolehi hukum ini dari zaman mereka kerana masih tidak wujud masalah ini. Saya akan cuba ringkaskan syarahnya supaya senang untuk difahami.

Isu ini kurang diperdebatkan oleh ulama muaasirin (kontemporari), rujukan yang saya sempat jumpa hanyalah kitab Ahkam Assiyam tulisan Syiekh Muhammad Bin Soleh al-Uthaimin rahimahullah ulama dari Arab Saudi. Mungkin terdapat rujukan lain yang saya terlepas pandang. Apa sekali pun syarah dari syiekh ini cukup jelas mengenai isu ini. Kitab ini sebenarnya adalah soalan-soalan atau kemusykilan masyarakat yang berkisar mengenai puasa dan ianya dijawab oleh syiekh dan dibukukan menjadi tajuk kitabnya Ahkam Assiyam.

Telah dibahagikan hukumnya kepada dua iaitu hukum puasa bagi orang yang menderma darah dan hukum menderma darah itu sendiri. Adakah dibolehkan atau tidak.

Apakah hukum puasa bagi orang yang menderma darah?

1. Seseorang yang ingin menderma darah kepada yang memerlukan, ataupun darahnya diambil untuk dibuat kajian penyakit maka hukum puasanya tidak batal sama sekali, tetapi dengan syarat kuantiti yang sedikit.

2. Seseorang yang ingin menderma darah dengan kuantiti yang banyak, dan menyebabkan badan penderma menjadi lemah, maka puasanya terbatal. Jika menderma kerana darurat contohnya seseorang memerlukan darah maka puasa itu turut terbatal tetapi tidak berdosa ke atas penderma dan wajib qada puasanya. Tetapi jika seseorang menderma darah tanpa darurat atau sebab yang munasabah maka terbatal puasanya dan berdosa serta wajib juga menqadakan puasanya.

Apakah hukum menderma darah?

1. Jika kemusykilan ini dikhususkan kepada siang hari pada bulan Ramadhan, maka tidak dibolehkan seseorang menderma darah dengan kuantiti yang banyak yang menyebabkan badan seseorang penderma menjadi lemah kecuali dalam keadaan darurat sahaja dibolehkan seperti yang disebutkan di atas.

Apakah dalilnya?

Kaedah yang diguna pakai oleh fuqaha ialah menggunakan kaedah Qiyas. Fuqaha menqiyaskan hadis:

عن النبي صلى الله عليه وسلم في قوله : أفطر الحاجم والمحجوم
Maksudnya: Dari nabi SAW: Batal puasa bagi pembekam dan dibekam.

Para fuqaha menQiyaskan menderma darah itu seperti mengeluarkan darah dari badan iaitu berbekam. Berbekam akan melemahkan badan seseorang yang dibekam. Jadi, seperti yang disebutkan sebelum ini apabila seseorang menderma darah yang boleh menyebabkan badan menjadi lemah, maka batallah puasa seseorang itu.

Sekian, terima kasih kepada pembaca.

sumber :http://ashrafirk.blogspot.com/2009/03/hukum-menderma-darah-bulan-ramadhan.html


Wednesday, July 18, 2012

Hukum Kanak-Kanak Berada Bersama Saf Dewasa Waktu Solat Berjamaah.

Seringkali kita perhatikan di kebanyakkan masjid atau surau kedudukan saf kanak-kanak semasa solat berjemaah diasingkan daripada saf orang-orang dewasa. Fenomena ini merupakan fenomena biasa yang telah berlaku di negara kita Malaysia secara khusus semenjak dari dahulu lagi. Tidak dinafikan bahawa pendapat yang menyatakan saf kanak-kanak perlu diasingkan daripada saf dewasa juga sebahagian daripada ijtihad ulama berdasarkan beberapa dalil yang akan dibincangkan.

Satu perkara yang penting untuk diingatkan bahawa pendapat ijtihad para ulama terdedah kepada kesalahan, walaupun demikian mujtahid yang berijtihad tetapi ijtihadnya tidak tepat baginya satu pahala sementara bagi ijtihad yang betul dua pahala, seperti hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari.

Amr bin al-‘As r.a pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

إذَا حَكَمَ الحَاكِمُ فَاجتَهدَ ثُمَّ أصَابَ فَلَهُ أجْرَان، وَإِذَا حَكَمَ فَاجْتَهدَ ثُمَّ أخْطَأَ فَلَهُ أجْرٌ.

Maksudnya:
Apabila seorang hakim berijtihad kemudian ijtihadnya betul, dia mendapat dua pahala. Apabila dia berijtihad tetapi salah, dia tetap mendapat satu pahala.”

Bagi mereka yang telah mengetahui bahawa sesuatu pendapat itu tidak tepat, maka kewajipannya berpegang kepada pendapat yang berdasarkan dalil yang tepat dan tinggalkan pendapat yang tidak kuat.

1- Galakan membawa anak ke masjid

Membawa anak-anak ke masjid ialah suatu perbuatan yang amat digalakkan, ini kerana dengan melaziminya akan membiasakan mereka untuk bersolat di masjid. Adalah menjadi tanggungjawab serta perhatian kepada setiap ibubapa atau penjaga, apabila anak-anak mereka mencapai usia tujuh tahun untuk disuruh melakukan solat dan melazimi mereka ke masjid. pukullah mereka setelah mencapai sepuluh tahun sekiranya mereka tidak melakukan solat.

Nabi s.a.w bersabda di dalam sebuah hadis yang sahih diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud:

مُرُوا أَوْلاَدَكُم بِالصَّلاَةِ وَهُم أبنَاءُ سَبْعِ سِنِيْنَ، وَاضْرِبُوهُم عَلَيها وَهُم أبنَاءُ عَشْرٍ، وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ.

Maksudnya:
Perintahkanlah anak-anak kamu untuk mendirikan solat ketika umur tujuh tahun, dan pukullah mereka (sekiranya mereka tidak mendirikan solat) ketika umur mereka sepuluh tahun, serta pisahkanlah tempat tidur mereka antara lelaki dan perempuan.

Inilah tarbiyyah (didikan) kepada anak-anak yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. menunjukkan betapa pentingnya kedudukan solat itu di dalam Islam. Disamping menyuruh mereka bersolat dan memukulnya sekiranya mereka meninggalkannya, ibubapa juga perlu memberi perhatian dalam memisahkan tempat tidur antara anak lelaki dan anak perempuan.

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Qatadah al-Ansori r.h. beliau berkata:
رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى الله عليه وَسَلَّم يَؤُمُّ النَّاسَ وأُمَامَةُ بِنْت أبِي العَاص وَهِيَ ابنَةُ زَيْنَبَ بِنْت النبي صَلَّى الله عليه وَسَلَّم عَلَى عَاتِقِهِ، فَإذَا رَكَعَ وَضَعَهَا وَإِذَا رَفَعَ مِن السُّجُوْدِ أَعَادَهَا.

Maksudnya:
Aku melihat Nabi s.a.w mengimami solat sedang mendukung Umamah binti Abi al-As yang juga anak perempuan Zainab binti Rasulillah s.a.w. Apabila baginda rukuk diletakkannya dan apabila bangun dari sujud baginda mengangkatnya semula.

Daripada hadis ini beberapa pelajaran yang boleh diperolehi:
  • Perbuatan Nabi s.a.w. mendukung cucunya Umamah sewaktu mengimami solat menunjukkan tiada halangan membawa masuk kanak-kanak ke dalam masjid.
  • Faedah lain yang boleh diperolehi dari hadis ini juga menunjukkan bahawa kanak-kanak yang belum mumaiyiz tidak membatalkan solat seseorang seperti yang disalah fahami oleh sebahagian pihak dengan menyatakan sekiranya kanak-kanak berada di dalam satu saf dengan orang dewasa akan menyebabkan satu saf terbatal. Pendapat ini batil sama sekali.
  • Pergerakan yang lebih dari tiga kali tidak membatalkan solat seseorang. Perbuatan Nabi s.a.w meletak dan mengangkat cucunya ketika solat sudah pasti melebihi tiga pergerakan yang besar tetapi ianya tidak membatalkan solat baginda s.a.w.
Kesimpulannya sekiranya kanak-kanak yang mencapai umur mumaiyiz iaitu dalam lingkungan tujuh tahun ke atas maka tidak dihalang membawa anak-anak ke masjid bahkan ianya digalakkan sebagai latihan untuk membiasakan mereka bersolat di masjid. Adapun kanak-kanak yang kurang dari umur tujuh tahun atau yang belum mumaiyiz maka ia tidak digalakkan kecuali sekiranya boleh dikawal dari mengganggu orang lain atau mengotorkan masjid. Juga sekiranya ada hajat yang mendesak, contohnya tiada sesiapa yang boleh menjaganya di rumah dan sebagainya. Ini antara yang dinyatakan oleh Lajnah Daimah iaitu majlis fatwa Saudi juga pendapat yang dikemukan oleh Syeikh Soleh al-Fauzan.

Adapun hadis yang diguna oleh sebahagian pihak yang melarang membawa kanak-kanak ke masjid merupakan hadis yang dhoif dan tidak boleh dijadikan hujah iaitu:
Hadisnya berbunyi:
جَنِّبُوا مَسَاجِدَكُمْ صِبْيَانَكُمْ..
Maksudnya: Jauhkanlah kanak-kanak dari masjid. hadis ini diriwayatkan oleh Ibn Hibban(hadis dhoif).

2- Saf kanak-kanak
Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Anas r.h. beliau berkata:
أنَّهُ عَلَيْهِ الصَّلاَةُ وَالسَّلاَم صَلَّى في بيتٍ أُمِّ سُلَيْمٍ فَقُمْتُ أَناَ وَيَتِيْمٌ خَلْفَهُ وَأُمِّ سُلَيْم خَلْفَنَا

Maksudnya:
Nabi s.a.w. bersolat dirumah Ummu Sulaim, Aku (Anas) dan seorang yatim mengikutnya bersolat dibelakangnya dan Ummu Sulaim dibelakang kami.
Ibn Abbas r.h. berkata:

تُّ عِنْدَ خَالَتِي مَيْمُونَةَ، فَقَامَ النَّبِي صَلَّى الله عليه وَسَلَّم يُصَلِّيبِ مِنَ اللَيْلِ، فَقُمْتُ أُصَلِّي مَعَهُ، فَقُمْتُ عَنْ يَسَارِهِ، فَأَخَذَ بِرَأْسِي وَأَقَامَنِي عَنْ يَمِيْنِهِ.
Maksudnya:
Aku bermalam di rumah ibu saudaraku Maimunah, pada malam itu Nabi s.a.w. bersolat. Maka akupun bersolat bersamanya lalu berdiri di sebelah kirinya. Kemudian Nabi s.a.w. memegang kepalaku sambil menarik aku ke sebelah kanannya. Hadis riwayat al-Bukhari.
Kedua-dua hadis di atas dalil menunjukkan kanak-kanak yang belum baligh boleh bersolat bersama orang dewasa tanpa mencacatkan solatnya. Hadis yang pertama Anas bersolat bersama seorang anak yatim di belakang Nabi s.a.w. maka sudah tentu anak yatim tersebut seorang yang belum baligh, sekiranya sudah baligh tidak dipanggil anak yatim lagi. Semetara hadis yang kedua Ibn Abbas yang ketika itu masih kecil bersolat disebelah Nabi s.a.w.
Jelaslah bahawa tiada saf yang khusus dijadikan untuk kanak-kanak seperti yang dilakukan oleh sebahagian masjid. kanak-kanak boleh dimasukkan sekali ke dalam saf orang dewasa.
Di dalam kitab-kitab feqah dinyatakan susunan saf ketika solat berjemaah seperti yang dinyatakan oleh Abdul Karim Zaidan di dalam kitabnya “al-Mufassal” jilid 1, hal. 244-245, hendaklah saf dimulai orang dewasa kemudian diikuti oleh kanak-kanak kemudian khunsa seterusnya perempuan dan akhirnya kanak-kanak perempuan. Pendapat ini juga dipegang oleh mazhab hanbali, seperti yang dinyatakan di dalam kitab “al-Mughni” jilid 2 hal. 429.
Dikalangan ulama’-ulama’ syafieyyah juga berpendapat sedemikian. Tetapi saya melihat walupun mereka berkata demikian iaitu susunan saf seperti yang dinyatakan “dimulai orang dewasa kemudian diikuti oleh kanak-kanak kemudian khunsa seterusnya perempuan dan akhirnya kanak-kanak perempuan” namun mereka tidak mengkhususkan satu saf untuk kanak-kanak sehingga mereka langsung tidak boleh bersolat satu saf dengan orang dewasa. Ini dibuktikan dengan apa yang dinyatakan oleh Imam Khatib al-Syarbini di dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj ila Makrifati Ma’ani alfaz al-Minhaj, jilid 1, hal. 492:

وَإِنَّمَا تُؤَخِّرُ الصِّبْيَان عَنْ الرِّجَالِ كمَا قالَ الأذْرَعِي إذَا لَمْ يَسعَهُم صَفَّ الرِّجَال وإلا كَمَلَ بِهِمْ.

Maksudnya:
Adapun dibelakangkan kanak-kanak daripada orang dewasa seperti yang diperkatakan oleh al-Azraie apabila saf orang dewasa telah penuh, tetapi sekiranya terdapat kekosongan pada saf orang dewasa maka ianya diisi dengan kanak-kanak.
Jelas daripada apa yang dikatakan oleh Imam Khatib al-Syarbini ini. sekiranya saf orang dewasa terdapat kekosongan maka saf tersebut perlu diisi dengan kanak-kanak. Tidak terdapat di sana saf yang dikuhususkan kepada kanak-kanak. Wallahu a’lam.

3- Mengkhususkan saf untuk kanak-kanak

1- Antara dalil yang digunakan oleh mereka yang mengkhususkan saf bagi kanak-kanak sehingga menjadikan saf kanak-kanak jauh di belakang masjid ialah hadis yang diriwayatkan Muslim:

لِيَلِنِي مِنْكُم أُوْلُو الأَحْلاَمِ وَالنُّهَى ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُونَهُم، ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُونَهُمْ
Maksudnya:
Hendaklah mereka yang berada dibelakangku ahli ahlam (baligh) dan Nuha (beraqal), kemudian seterusnya dan seterusnya…(juga maksud ulil ahlam dan nuha ialah mereka yang mempunyai ilmu dan tahu hukum hakam solat berjemaah, boleh membetulkan imam sekiranya tersilap)
Syeikh Soleh Ibn Utsaimin menjawab: dalil ini tidak tepat untuk dijadikan hujah mengasingkan kanak-kanak daripada saf orang dewasa. Ia juga bertentangan dengan sabda Nabi s.a.w.

مَنْ سَبَقَ إِلَى مَا لَمْ يَسْبِقُهُ إِلَيْهِ أَحَدٌ فَهُوَ أَحَقُّ بِهِ
Maksudnya: sesiapa yang mendahului orang lain kepada sesuatu maka dia lebih berhak mendapatkannya.

Hadis yang diriwayatkan Muslim di atas membawa maksud galakkan dan gesaan kepada ulil ahlam dan nuha iaitu yang baligh dan beraqal supaya berada di belakang Rasulullah kerana mereka lebih faham daripada kanak-kanak.
Nabi tidak menyatakan لاَ يَلِيْنِي إلاَّ أُوْلُو الأَحْلاَمِ وَالنُّهَى yang bermaksud jangan berada dibelakangku kecuali yang baligh dan beraqal. Sekiranya lafaz hadis datang seperti lafaz ini iaitu tegahan berada dibelakang Nabi kecuali kepada mereka yang dinyatakan maka ketika itu barulah membawa hukum kanak-kanak tidak boleh berada di saf belakang Nabi s.a.w.
Tetapi walaupun demikian para ulama’ bersetuju bahawa mereka yang sepatutnya berada di belakang imam ialah mereka yang baligh dan beraqal yang mempunyai ilmu tentang solat, supaya sekiranya terjadi sesuatu maka orang yang berada di belakang imam tahu apa yang perlu dilakukan.
Ibn Qudamah al-Maqdisi menyatakan:

السُّنَّةُ: أَن يَتَقَدَّمَ فِي الصفِّ الأوَّل الفَضْلُ وَالسِّنُّ، وَيَلِي الإمام أكْمَلُهُم وَأفضَلُهم، قال أحمد: يَلِي الإمامُ الشُّيُوخُ وأهلُ القُرْآنِ وَتُؤَخِّرُ الصِبْيَانَ وَالغِلمانَ وَلاَ يَلُونَ الإمَام.
Maksudnya:
Sunnah: mendahului mereka yang baik dan berumur pada saf yang pertama, dan mereka yang berada dibelakang imam yang paling baik dan sempurna dikalangan mereka. Imam Ahmad berkata: yang berada di belakang imam mereka yang lebih tua, dan ahli al-Quran, dan di belakangkan kanak-kanak serta tidak di tempatkan di belakang imam. (Al-Mughni, jilid 2, hlm.429)

Ingin saya ingatkan bukan hanya kanak-kanak sahaja yang tidak sepatutnya duduk dibelakang imam tetapi merupakan satu kesalahan juga sebahagian orang awam yang sering melazimi belakang imam sedangkan mereka tidak tahu hukum hakam yang berkaitan dengan solat berjemaah. Nanti akan menyebabkan mereka tidak tahu tindakan yang perlu dilakukan apabila terjadi sesuatu kepada imam.

2- Satu lagi dalil yang dijadikan hujah untuk mengasingkan kanak-kanak daripada saf orang dewasa ialah hadis:

كَانَ رَسُولُ الله صَلَّى الله عليه وَسَلَّمَ يَجْعَلُ الرِّجَال قدَّام الغِلْمَان، والغلمانُ خَلْفَهُم، والنِّسَاءُ خَلْفَ الغِلْمَان
Maksudnya:
Rasulullah s.a.w. menjadikan saf orang dewasa dihadapan kanak-kanak, dan saf kanak-kanak dibelakang mereka semetara saf perempuan di belakang kanak-kanak.
Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Dawud. Syeikh al-Albani menyatakan:
“Sanad (rangkaian perawi) hadis ini dhoif (lemah). Terdapat seorang periwayat hadis yang lemah namanya Syahr bin Husyab. Menjadikan saf kanak-kanak di belakang saf dewasa aku tidak mendapati hadis yang lain kecuali hadis ini sahaja dan ianya tidak boleh dijadikan hujah. Aku berpendapat tidak mengapa kanak-kanak bersolat sekali dengan saf dewasa sekiranya terdapat kekosongan. Hadis Anas yang bersolat bersama seorang anak yatim dibelakang Rasulullah s.a.w. menjadi hujah dalam masalah ini.” (Tamamul Minnah, hlm. 284)
3- Antara hujah yang digunakan juga ialah kanak-kanak itu menaggung najis yang sekiranya bersolat bersama di dalam satu saf maka akan batallah satu saf tersebut. Hujah ini hujah yang tidak dibina di atas dalil al-Quran dan sunnah. Bahkan seperti yang dinyatakan Nabi s.a.w. mendukung Umamah cucunya ketika solat.
Imam Ibn Rajab al-Hanbali menyatakan:
Hadis menunjukkan bersihnya pakaian kanak-kanak, sekiranya dihukumkan najis sudah tentu Nabi tidak mendukungnya, begitu juga yang dinaskan (disebut) oleh Imam al-Syafie dan selainnya.
Mengasingkan kanak-kanak di belakang masjid atau menyisihkan mereka sewaktu berada di masjid akan mengundang perkara negatif seperti:
  • Akan menyebabkan kanak-kanak tidak suka kepada masjid, apabila ini berterusan ia akan melekat di dalam dirinya. Apabila mereka meningkat dewasa mereka akan menjauhkan diri dari institusi masjid.
    Mereka akan merasakan masjid bukan tempat untuk kanak-kanak atau orang muda kerana apabila mereka datang ke masjid seolah-olah mereka ini tidak dilayan dan ditempatkan di saf yang paling belakang.
  • Mereka akan merasakan mereka tiada hak untuk duduk di dalam saf, ini kerana apabila hadir awal dan duduk di saf hadapan maka pasti akan ada siak yang menyuruhnya ke belakang sedangkan tempat itu merupakan haknya.
  • Menimbulkan rasa benci kepada orang yang memarahi dan menyuruhnya duduk di belakang. Sehingga sebahagian masjid ada menyediakan pegawai yang memegang rotan untuk mengawal kanak-kanak.
    Keburukan apabila mengumpulkan kanak-kanak di satu tempat di belakang masjid sudah pasti mereka akan bermain sesama sendiri dan membuat bising seterusnya mengganggu orang yang berada di dalam masjid. Itu merupakan fitrah kanak-kanak. Untuk mengelakkan perkara ini berlaku adalah lebih baik kanak-kanak itu duduk bersama ayahnya atau penjaganya sewaktu berada di dalam masjid kerana ini menghalang untuk mereka berkumpul dan membuat bising.

4- Mendahului kanak-kanak yang mempunyai kelebihan

Kanak-kanak yang mempunyai kelebihan seperti mereka yang menghafal al-Quran dan bagus bacaannya atau kanak-kanak yang dianugerahkan Allah akan ilmu dalam agama boleh dikehadapankan daripada orang awam biasa. Sehingga boleh dilantik sebagai imam walaupun belum mencapai usia baligh. Imam Khatib al-Syarbini menyatakan:

وَقِيْل: إنْ كَانَ الصِبْيَانُ أفضَلُ مِن الرِّجَالِ كَأَنْ كَانُوا فِسْقَة وَالصِبْيَانُ صَلْحَاء قَدِّمُوا عَلَيْهِم، قَالَهُ الدَّارِمِي.

Maksudnya:
Dikatakan: sekiranya kanak-kanak lebih afdhal (baik) daripada orang dewasa seperti merka fasiq tetapi kanak-kanak itu dari kalangan baik dan bagus maka kanak-kanak itu dikehadapankan daripada orang dewasa. Pendapat ini disebutkan oleh al-Darimi. (Mughni al-Muhtaj, jilid 1, hlm. 492)
Persoalan yang mungkin timbul ialah adakah sah solat yang diimami oleh kanak-kanak yang belum baligh?

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, Amr bin salamah al-Jurmi mengimami kaumnya sedangkan umurnya ketika itu enam atau tujuh tahun.
Nabi s.a.w. bersabda:

أنه يَؤُمُّهُم أكثَرُهُم قُرْآناً
Maksudnya:
Yang mengimami mereka ialah yang paling baik bacaan al-Qurannya.
Ketika dibaca sabda Nabi ini, orang ramai melihat-lihat kiri dan kanan maka mereka dapati tidak ada orang lain yang lebih baik bacaannya kecuali Amr bin salamah al-Jurmi, kemudian beliau mengimami solat kaumnya. Hadis ini dalil kepada sahnya solat yang diimami oleh kanak-kanak yang belum baligh.
Fatwa ini juga dinyatakan oleh Syeikh Abdul Aziz ibn Baz dan Syeikh Muhammad Soleh ibn Utsaimin
-والله تعالى أعلم-

Wednesday, July 11, 2012

PUASA SELEPAS 15 SYAABAN




Terdapat tiga pendapat Ulama dalam hal ini:

a) Pendapat Pertama - Harus berpuasa selepas setengah Syaaban. Ini adalah pendapat jumhur ulama di kalangan mazhab Hanafi, mazhab Maliki, dan mazhab Hanbali.

   Dalil Pendapat Pertama
   Jumhur ulama berhujah dengan hadis di dalam Sahih Bukhari dan Sahih Muslim daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
“Apabila berlalu separuh bulan Syaaban, maka tidak ada puasa sampai datang bulan Ramadhan.”
Tetapi kalau seseorang itu sudah biasa berpuasa pada hari-hari tertentu, maka tidaklah diharamkan, kerana ada hadis lain yang memberi penjelasan, daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w, maksudnya :
“Janganlah salah seorang kamu mendahului Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari. Kecuali seseorang yang berpuasa dengan satu puasa (adat kebiasaannya) maka berpuasalah pada hari itu”
Penjelasan dalil
Hadis tersebut melarang mendahului Ramadhan dengan puasa sehari atau dua hari. Ini bererti boleh mendahuluinya jika lebih daripada itu. Iaitu selepas setengah Syaaban.


b) Pendapat Kedua - Makruh berpuasa selepas setengah Syaaban bagi mereka yang tiada kelaziman puasa sebagai adat. Adapun bagi yang ada kelaziman puasa, hukumnya tidak makruh. Ini adalah pandangan mazhab Syafie.

    Dalil Pendapat Kedua
Mazhab Syafie pula berhujah dengan hadis riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Apabila tiba setengah Syaaban, maka janganlah berpuasa”


c) Pendapat Ketiga - Haram berpuasa selepas setengah Syaaban. Ini pendapat Ibnu Hazm Al-Zahiri.
  Dalil Pendapat Ketiga
Ibnu Hazm berhujah dengan hadis yang sama, iaitu larangan daripada puasa selepas setengah Syaaban.

 Kesimpulan
  • Mereka yang cenderung mengatakan hadis larangan puasa selepas 15 Syaaban adalah sahih, maka hukumnya makruh berpuasa kecuali ada kelaziman puasa.
  • Mereka yang cenderung kepada mendhaifkan hadis tersebut - dan ia lebih tepat - hukum berpuasa adalah harus, tidak ada sebarang larangan samada haram atau makruh.



* INI KHUSUS UNTUK BERPUASA SUNAT. BAGI PUASA WAJIB (QADA' @ NAZAR) BOLEH DILAKUKAN KECUALI PADA HARI SYAK IAITU 30 SYAABAN - KRN DIKUATIRI JATUH RAMADHAN KETIKA ITU.



Wallahu A’lam. Segala Ilmu itu milik Allah dan Dia mengetahui segala rahsia.