Seringkali
kita perhatikan di kebanyakkan masjid atau surau kedudukan saf
kanak-kanak semasa solat berjemaah diasingkan daripada saf orang-orang
dewasa. Fenomena ini merupakan fenomena biasa yang telah berlaku di
negara kita Malaysia secara khusus semenjak dari dahulu lagi. Tidak
dinafikan bahawa pendapat yang menyatakan saf kanak-kanak perlu
diasingkan daripada saf dewasa juga sebahagian daripada ijtihad ulama
berdasarkan beberapa dalil yang akan dibincangkan.
Satu perkara yang penting untuk diingatkan bahawa pendapat ijtihad para
ulama terdedah kepada kesalahan, walaupun demikian mujtahid yang
berijtihad tetapi ijtihadnya tidak tepat baginya satu pahala sementara
bagi ijtihad yang betul dua pahala, seperti hadis yang diriwayatkan oleh
Imam al-Bukhari.
Amr bin al-‘As r.a pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
إذَا حَكَمَ الحَاكِمُ فَاجتَهدَ ثُمَّ أصَابَ فَلَهُ أجْرَان، وَإِذَا حَكَمَ فَاجْتَهدَ ثُمَّ أخْطَأَ فَلَهُ أجْرٌ.
Maksudnya:
“Apabila seorang hakim berijtihad kemudian ijtihadnya betul, dia
mendapat dua pahala. Apabila dia berijtihad tetapi salah, dia tetap
mendapat satu pahala.”
Bagi mereka yang telah mengetahui bahawa sesuatu pendapat itu tidak
tepat, maka kewajipannya berpegang kepada pendapat yang berdasarkan
dalil yang tepat dan tinggalkan pendapat yang tidak kuat.
1- Galakan membawa anak ke masjid
Membawa anak-anak ke masjid ialah suatu perbuatan yang amat digalakkan,
ini kerana dengan melaziminya akan membiasakan mereka untuk bersolat di
masjid. Adalah menjadi tanggungjawab serta perhatian kepada setiap
ibubapa atau penjaga, apabila anak-anak mereka mencapai usia tujuh tahun
untuk disuruh melakukan solat dan melazimi mereka ke masjid. pukullah
mereka setelah mencapai sepuluh tahun sekiranya mereka tidak melakukan
solat.
Nabi s.a.w bersabda di dalam sebuah hadis yang sahih diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud:
مُرُوا
أَوْلاَدَكُم بِالصَّلاَةِ وَهُم أبنَاءُ سَبْعِ سِنِيْنَ، وَاضْرِبُوهُم
عَلَيها وَهُم أبنَاءُ عَشْرٍ، وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ.
Maksudnya:
Perintahkanlah anak-anak kamu untuk mendirikan solat ketika umur
tujuh tahun, dan pukullah mereka (sekiranya mereka tidak mendirikan
solat) ketika umur mereka sepuluh tahun, serta pisahkanlah tempat tidur
mereka antara lelaki dan perempuan.
Inilah tarbiyyah (didikan) kepada anak-anak yang ditunjukkan oleh Nabi
s.a.w. menunjukkan betapa pentingnya kedudukan solat itu di dalam Islam.
Disamping menyuruh mereka bersolat dan memukulnya sekiranya mereka
meninggalkannya, ibubapa juga perlu memberi perhatian dalam memisahkan
tempat tidur antara anak lelaki dan anak perempuan.
Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Qatadah al-Ansori r.h. beliau berkata:
رَأَيْتُ
النَّبِيَّ صَلَّى الله عليه وَسَلَّم يَؤُمُّ النَّاسَ وأُمَامَةُ بِنْت
أبِي العَاص وَهِيَ ابنَةُ زَيْنَبَ بِنْت النبي صَلَّى الله عليه وَسَلَّم
عَلَى عَاتِقِهِ، فَإذَا رَكَعَ وَضَعَهَا وَإِذَا رَفَعَ مِن السُّجُوْدِ أَعَادَهَا.
Maksudnya:
Aku melihat Nabi s.a.w mengimami solat sedang mendukung Umamah
binti Abi al-As yang juga anak perempuan Zainab binti Rasulillah s.a.w.
Apabila baginda rukuk diletakkannya dan apabila bangun dari sujud
baginda mengangkatnya semula.
Daripada hadis ini beberapa pelajaran yang boleh diperolehi:
- Perbuatan
Nabi s.a.w. mendukung cucunya Umamah sewaktu mengimami solat
menunjukkan tiada halangan membawa masuk kanak-kanak ke dalam masjid.
- Faedah
lain yang boleh diperolehi dari hadis ini juga menunjukkan bahawa
kanak-kanak yang belum mumaiyiz tidak membatalkan solat seseorang
seperti yang disalah fahami oleh sebahagian pihak dengan menyatakan
sekiranya kanak-kanak berada di dalam satu saf dengan orang dewasa akan
menyebabkan satu saf terbatal. Pendapat ini batil sama sekali.
- Pergerakan
yang lebih dari tiga kali tidak membatalkan solat seseorang. Perbuatan
Nabi s.a.w meletak dan mengangkat cucunya ketika solat sudah pasti
melebihi tiga pergerakan yang besar tetapi ianya tidak membatalkan solat
baginda s.a.w.
Kesimpulannya
sekiranya kanak-kanak yang mencapai umur mumaiyiz iaitu dalam
lingkungan tujuh tahun ke atas maka tidak dihalang membawa anak-anak ke
masjid bahkan ianya digalakkan sebagai latihan untuk membiasakan mereka
bersolat di masjid. Adapun kanak-kanak yang kurang dari umur tujuh tahun
atau yang belum mumaiyiz maka ia tidak digalakkan kecuali sekiranya
boleh dikawal dari mengganggu orang lain atau mengotorkan masjid. Juga
sekiranya ada hajat yang mendesak, contohnya tiada sesiapa yang boleh
menjaganya di rumah dan sebagainya. Ini antara yang dinyatakan oleh
Lajnah Daimah iaitu majlis fatwa Saudi juga pendapat yang dikemukan oleh
Syeikh Soleh al-Fauzan.
Adapun hadis yang diguna oleh sebahagian pihak yang melarang membawa
kanak-kanak ke masjid merupakan hadis yang dhoif dan tidak boleh
dijadikan hujah iaitu:
Hadisnya berbunyi:
جَنِّبُوا مَسَاجِدَكُمْ صِبْيَانَكُمْ..
Maksudnya: Jauhkanlah kanak-kanak dari masjid. hadis ini diriwayatkan oleh Ibn Hibban(hadis dhoif).
2- Saf kanak-kanak
Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Anas r.h. beliau berkata:
أنَّهُ
عَلَيْهِ الصَّلاَةُ وَالسَّلاَم صَلَّى في بيتٍ أُمِّ سُلَيْمٍ فَقُمْتُ
أَناَ وَيَتِيْمٌ خَلْفَهُ وَأُمِّ سُلَيْم خَلْفَنَا
Maksudnya:
Nabi s.a.w. bersolat dirumah Ummu Sulaim, Aku (Anas) dan seorang
yatim mengikutnya bersolat dibelakangnya dan Ummu Sulaim dibelakang
kami.
Ibn Abbas r.h. berkata:
تُّ عِنْدَ خَالَتِي مَيْمُونَةَ، فَقَامَ النَّبِي صَلَّى الله عليه وَسَلَّم يُصَلِّيبِ مِنَ اللَيْلِ، فَقُمْتُ أُصَلِّي مَعَهُ، فَقُمْتُ عَنْ يَسَارِهِ، فَأَخَذَ بِرَأْسِي وَأَقَامَنِي عَنْ يَمِيْنِهِ.
Maksudnya:
Aku bermalam di rumah ibu saudaraku Maimunah, pada malam itu
Nabi s.a.w. bersolat. Maka akupun bersolat bersamanya lalu berdiri di
sebelah kirinya. Kemudian Nabi s.a.w. memegang kepalaku sambil menarik
aku ke sebelah kanannya. Hadis riwayat al-Bukhari.
Kedua-dua
hadis di atas dalil menunjukkan kanak-kanak yang belum baligh boleh
bersolat bersama orang dewasa tanpa mencacatkan solatnya. Hadis yang
pertama Anas bersolat bersama seorang anak yatim di belakang Nabi s.a.w.
maka sudah tentu anak yatim tersebut seorang yang belum baligh,
sekiranya sudah baligh tidak dipanggil anak yatim lagi. Semetara hadis
yang kedua Ibn Abbas yang ketika itu masih kecil bersolat disebelah Nabi
s.a.w.
Jelaslah
bahawa tiada saf yang khusus dijadikan untuk kanak-kanak seperti yang
dilakukan oleh sebahagian masjid. kanak-kanak boleh dimasukkan sekali ke
dalam saf orang dewasa.
Di
dalam kitab-kitab feqah dinyatakan susunan saf ketika solat berjemaah
seperti yang dinyatakan oleh Abdul Karim Zaidan di dalam kitabnya
“al-Mufassal” jilid 1, hal. 244-245, hendaklah saf dimulai orang dewasa
kemudian diikuti oleh kanak-kanak kemudian khunsa seterusnya perempuan
dan akhirnya kanak-kanak perempuan. Pendapat ini juga dipegang oleh
mazhab hanbali, seperti yang dinyatakan di dalam kitab “al-Mughni” jilid
2 hal. 429.
Dikalangan
ulama’-ulama’ syafieyyah juga berpendapat sedemikian. Tetapi saya
melihat walupun mereka berkata demikian iaitu susunan saf seperti yang
dinyatakan “dimulai orang dewasa kemudian diikuti oleh kanak-kanak
kemudian khunsa seterusnya perempuan dan akhirnya kanak-kanak perempuan”
namun mereka tidak mengkhususkan satu saf untuk kanak-kanak
sehingga mereka langsung tidak boleh bersolat satu saf dengan orang
dewasa. Ini dibuktikan dengan apa yang dinyatakan oleh Imam
Khatib al-Syarbini di dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj ila Makrifati
Ma’ani alfaz al-Minhaj, jilid 1, hal. 492:
وَإِنَّمَا تُؤَخِّرُ الصِّبْيَان عَنْ الرِّجَالِ كمَا قالَ الأذْرَعِي إذَا لَمْ يَسعَهُم صَفَّ الرِّجَال وإلا كَمَلَ بِهِمْ.
Maksudnya:
Adapun dibelakangkan kanak-kanak daripada orang dewasa seperti yang diperkatakan oleh al-Azraie
apabila saf orang dewasa telah penuh, tetapi sekiranya terdapat
kekosongan pada saf orang dewasa maka ianya diisi dengan kanak-kanak.
Jelas
daripada apa yang dikatakan oleh Imam Khatib al-Syarbini ini. sekiranya
saf orang dewasa terdapat kekosongan maka saf tersebut perlu diisi
dengan kanak-kanak. Tidak terdapat di sana saf yang dikuhususkan kepada
kanak-kanak. Wallahu a’lam.
3- Mengkhususkan saf untuk kanak-kanak
1- Antara dalil yang digunakan oleh mereka yang mengkhususkan saf bagi
kanak-kanak sehingga menjadikan saf kanak-kanak jauh di belakang masjid
ialah hadis yang diriwayatkan Muslim:
لِيَلِنِي مِنْكُم أُوْلُو الأَحْلاَمِ وَالنُّهَى ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُونَهُم، ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُونَهُمْ
Maksudnya:
Hendaklah mereka yang berada dibelakangku ahli ahlam (baligh)
dan Nuha (beraqal), kemudian seterusnya dan seterusnya…(juga maksud ulil
ahlam dan nuha ialah mereka yang mempunyai ilmu dan tahu hukum hakam
solat berjemaah, boleh membetulkan imam sekiranya tersilap)
Syeikh
Soleh Ibn Utsaimin menjawab: dalil ini tidak tepat untuk dijadikan
hujah mengasingkan kanak-kanak daripada saf orang dewasa. Ia juga
bertentangan dengan sabda Nabi s.a.w.
مَنْ سَبَقَ إِلَى مَا لَمْ يَسْبِقُهُ إِلَيْهِ أَحَدٌ فَهُوَ أَحَقُّ بِهِ
Maksudnya: sesiapa yang mendahului orang lain kepada sesuatu maka dia lebih berhak mendapatkannya.
Hadis
yang diriwayatkan Muslim di atas membawa maksud galakkan dan gesaan
kepada ulil ahlam dan nuha iaitu yang baligh dan beraqal supaya berada
di belakang Rasulullah kerana mereka lebih faham daripada kanak-kanak.
Nabi tidak menyatakan لاَ يَلِيْنِي إلاَّ أُوْلُو الأَحْلاَمِ وَالنُّهَى
yang bermaksud jangan berada dibelakangku kecuali yang baligh dan
beraqal. Sekiranya lafaz hadis datang seperti lafaz ini iaitu tegahan
berada dibelakang Nabi kecuali kepada mereka yang dinyatakan maka ketika
itu barulah membawa hukum kanak-kanak tidak boleh berada di saf
belakang Nabi s.a.w.
Tetapi walaupun demikian para ulama’
bersetuju bahawa mereka yang sepatutnya berada di belakang imam ialah
mereka yang baligh dan beraqal yang mempunyai ilmu tentang solat, supaya
sekiranya terjadi sesuatu maka orang yang berada di belakang imam tahu
apa yang perlu dilakukan.
Ibn Qudamah al-Maqdisi menyatakan:
السُّنَّةُ: أَن يَتَقَدَّمَ فِي الصفِّ
الأوَّل الفَضْلُ وَالسِّنُّ، وَيَلِي الإمام أكْمَلُهُم وَأفضَلُهم، قال
أحمد: يَلِي الإمامُ الشُّيُوخُ وأهلُ القُرْآنِ وَتُؤَخِّرُ الصِبْيَانَ
وَالغِلمانَ وَلاَ يَلُونَ الإمَام.
Maksudnya:
Sunnah: mendahului mereka yang baik dan berumur pada saf yang
pertama, dan mereka yang berada dibelakang imam yang paling baik dan
sempurna dikalangan mereka. Imam Ahmad berkata: yang berada di belakang
imam mereka yang lebih tua, dan ahli al-Quran, dan di belakangkan
kanak-kanak serta tidak di tempatkan di belakang imam. (Al-Mughni, jilid
2, hlm.429)
Ingin saya ingatkan bukan hanya kanak-kanak sahaja yang tidak sepatutnya duduk dibelakang imam tetapi merupakan satu kesalahan juga sebahagian orang awam yang sering melazimi belakang imam sedangkan mereka tidak tahu hukum hakam yang berkaitan dengan solat berjemaah. Nanti akan menyebabkan mereka tidak tahu tindakan yang perlu dilakukan apabila terjadi sesuatu kepada imam.
2- Satu lagi dalil yang dijadikan hujah untuk mengasingkan kanak-kanak daripada saf orang dewasa ialah hadis:
كَانَ رَسُولُ الله صَلَّى الله عليه
وَسَلَّمَ يَجْعَلُ الرِّجَال قدَّام الغِلْمَان، والغلمانُ خَلْفَهُم،
والنِّسَاءُ خَلْفَ الغِلْمَان
Maksudnya:
Rasulullah s.a.w. menjadikan saf orang dewasa dihadapan
kanak-kanak, dan saf kanak-kanak dibelakang mereka semetara saf
perempuan di belakang kanak-kanak.
Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Dawud. Syeikh al-Albani menyatakan:
“Sanad (rangkaian perawi) hadis ini dhoif (lemah).
Terdapat seorang periwayat hadis yang lemah namanya Syahr bin Husyab.
Menjadikan saf kanak-kanak di belakang saf dewasa aku tidak mendapati
hadis yang lain kecuali hadis ini sahaja dan ianya tidak boleh dijadikan
hujah. Aku berpendapat tidak mengapa kanak-kanak bersolat
sekali dengan saf dewasa sekiranya terdapat kekosongan. Hadis Anas yang
bersolat bersama seorang anak yatim dibelakang Rasulullah s.a.w. menjadi
hujah dalam masalah ini.” (Tamamul Minnah, hlm. 284)
3-
Antara hujah yang digunakan juga ialah kanak-kanak itu menaggung najis
yang sekiranya bersolat bersama di dalam satu saf maka akan batallah
satu saf tersebut. Hujah ini hujah yang tidak dibina di atas dalil
al-Quran dan sunnah. Bahkan seperti yang dinyatakan Nabi s.a.w.
mendukung Umamah cucunya ketika solat.
Imam Ibn Rajab al-Hanbali menyatakan:
Hadis menunjukkan bersihnya pakaian kanak-kanak, sekiranya dihukumkan
najis sudah tentu Nabi tidak mendukungnya, begitu juga yang dinaskan
(disebut) oleh Imam al-Syafie dan selainnya.
Mengasingkan
kanak-kanak di belakang masjid atau menyisihkan mereka sewaktu berada
di masjid akan mengundang perkara negatif seperti:
- Akan
menyebabkan kanak-kanak tidak suka kepada masjid, apabila ini
berterusan ia akan melekat di dalam dirinya. Apabila mereka meningkat
dewasa mereka akan menjauhkan diri dari institusi masjid.
Mereka akan merasakan masjid bukan tempat untuk kanak-kanak atau orang
muda kerana apabila mereka datang ke masjid seolah-olah mereka ini tidak
dilayan dan ditempatkan di saf yang paling belakang.
- Mereka
akan merasakan mereka tiada hak untuk duduk di dalam saf, ini kerana
apabila hadir awal dan duduk di saf hadapan maka pasti akan ada siak
yang menyuruhnya ke belakang sedangkan tempat itu merupakan haknya.
- Menimbulkan
rasa benci kepada orang yang memarahi dan menyuruhnya duduk di
belakang. Sehingga sebahagian masjid ada menyediakan pegawai yang
memegang rotan untuk mengawal kanak-kanak.
Keburukan apabila mengumpulkan kanak-kanak di satu tempat di belakang
masjid sudah pasti mereka akan bermain sesama sendiri dan membuat bising
seterusnya mengganggu orang yang berada di dalam masjid. Itu merupakan
fitrah kanak-kanak. Untuk mengelakkan perkara ini berlaku adalah lebih
baik kanak-kanak itu duduk bersama ayahnya atau penjaganya sewaktu
berada di dalam masjid kerana ini menghalang untuk mereka berkumpul dan
membuat bising.
4- Mendahului kanak-kanak yang mempunyai kelebihan
Kanak-kanak yang mempunyai kelebihan seperti mereka yang menghafal
al-Quran dan bagus bacaannya atau kanak-kanak yang dianugerahkan Allah
akan ilmu dalam agama boleh dikehadapankan daripada orang awam biasa.
Sehingga boleh dilantik sebagai imam walaupun belum mencapai usia
baligh. Imam Khatib al-Syarbini menyatakan:
وَقِيْل: إنْ كَانَ الصِبْيَانُ
أفضَلُ مِن الرِّجَالِ كَأَنْ كَانُوا فِسْقَة وَالصِبْيَانُ صَلْحَاء
قَدِّمُوا عَلَيْهِم، قَالَهُ الدَّارِمِي.
Maksudnya:
Dikatakan:
sekiranya kanak-kanak lebih afdhal (baik) daripada orang dewasa seperti
merka fasiq tetapi kanak-kanak itu dari kalangan baik dan bagus maka
kanak-kanak itu dikehadapankan daripada orang dewasa. Pendapat ini
disebutkan oleh al-Darimi. (Mughni al-Muhtaj, jilid 1, hlm. 492)
Persoalan yang mungkin timbul ialah adakah sah solat yang diimami oleh kanak-kanak yang belum baligh?
Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, Amr bin salamah
al-Jurmi mengimami kaumnya sedangkan umurnya ketika itu enam atau tujuh
tahun.
Nabi s.a.w. bersabda:
أنه يَؤُمُّهُم أكثَرُهُم قُرْآناً
Maksudnya:
Yang mengimami mereka ialah yang paling baik bacaan al-Qurannya.
Ketika dibaca sabda Nabi ini, orang ramai melihat-lihat kiri dan kanan
maka mereka dapati tidak ada orang lain yang lebih baik bacaannya
kecuali Amr bin salamah al-Jurmi, kemudian beliau mengimami solat
kaumnya. Hadis ini dalil kepada sahnya solat yang diimami oleh
kanak-kanak yang belum baligh.
Fatwa ini juga dinyatakan oleh Syeikh Abdul Aziz ibn Baz dan Syeikh Muhammad Soleh ibn Utsaimin
-والله تعالى أعلم-